373 warga China scammer Cyberjaya didakwa

SEPANG: Seramai 373 warga China yang ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan memasuki dan berada di negara ini secara haram.

Bagaimanapun, seramai 321 daripadanya mengaku salah selepas kertas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Tengku Sharizam Tuan Lah manakala bakinya seramai 52 orang tidak mengaku salah.

Tengku Sharizam dalam penghakimannya memutuskan seramai 290 tertuduh dipenjara selama empat bulan bermula tarikh ditahan dan 31 orang didenda RM5,000 sebelum diusir keluar segera.

“Manakala seramai 52 orang yang tidak mengaku bersalah ditahan di Depoh Imigresen Bukit Jalil, dekat sini, sementara menunggu sebutan semula bagi semakan pasport pada 10 Januari tahun depan,” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, semua suspek warga China berusia 23 hingga 38 tahun itu didakwa melakukan kesalahan dengan memasuki dan berada di negara ini tanpa suatu pas yang sah.

Kesalahan itu dilakukan di Malaysian House Of Internet Sdn Bhd beralamat di Wisma Mustapha Kamal, Jalan Usahawan, Lingkaran Cyber Point Barat, Cyberjaya, dekat sini, pada 20 November lalu, jam 3. 30 petang.

Kesemua suspek didakwa mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, semua tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 dan tidak lebih enam sebatan.

Pendakwaan diketuai Pegawai Pendakwa Imigresen, Kasthuri Bai Venugopal, Suhaimi Abdullah, Nazwan Hassan, Asrizal Azman, Rueben Raj, Fadzil Shahabudin dan Ayunis.

Dalam prosiding yang memakan masa hampir tiga bermula jam 8 pagi itu, semua suspek membabitkan 356 lelaki dan 28 lelaki dibahagikan kepada 10 kumpulan yang mempunyai kira-kira 40 orang yang dituduh secara bergilir.

BH sebelum ini melaporkan Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbesar membabitkan warga China selepas menahan 680 warga negara terbabit dalam serbuan di sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya, pada 20 November lalu.

Semua mereka yang berusia 19 hingga 35 tahun dipercayai menjalankan aktiviti scam (penipuan) secara dalam talian yang berpusat di China dan disyaki sudah beroperasi sejak enam bulan lalu.

Berita Harian
13 Disember 2019