Ahli Parlimen Temerloh semakin stabil, sudah mula rawatan fisio

“Amanah berharap orang ramai dapat mendoakan kesejahteraan dan kesihatan YB SUA supaya kembali berkhidmat,”

Sejak semalam tular berita yang mendakwa keadaan kesihatan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mohd Anuar Tahir kritikal.

Hari ini, timbalannya, Abang Ahmad Kerdee tampil menafikan khabar angin tersebut menerusi satu kenyataan media.

Menurut Ahmad Kerdee yang memangku tugas-tugas Setiausaha Agung, perkembangan Anuar yang juga Ahli Parlimen Temerloh amat positif, stabil dan mampu berkomunikasi dengan baik.

“Malah, beliau juga telah menunjukkan tindak balas yang memberangsangkan sepanjang rawatan sekaligus menggambarkan tahap kesihatan yang memuaskan.

“Doktor yang bertugas merawat beliau turut mengesahkan bahawa tiada pembedahan yang akan dijalankan ke atas beliau sebagaimana berita yang tular di media sosial,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, Timbalan Menteri Kerja Raya itu telah mula menjalani rawatan fisioterapi pada awal minggu ini.

“Amanah berharap orang ramai dapat mendoakan kesejahteraan dan kesihatan YB SUA supaya kembali berkhidmat,” katanya.

Pada 25 Oktober lalu, Anuar dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana diserang strok dan imbasan CT menunjukkan beliau mengalami pendarahan otak. – MalaysiaGazette