Bapa dipenjara 7 tahun, 3 sebatan lakukan amang seksual

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya berusia empat tahun.

Selain itu, tertuduh yang berusia 33 tahun turut diarahkan diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Keputusan itu dibuat Hakim Wan Azimah Yaacob selepas tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa yang berusia empat tahun ketika itu di sebuah rumah di daerah ini pada Julai 2018.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 14(d), tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 16 akta sama, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan boleh dihukum tidak kurang daripada dua sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permintaan tertuduh untuk menangguhkan hukuman sementara tertuduh mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Fairuz Jusoh.