BERSATU keluar PH?

Cadangan supaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) keluar daripada Pakatan Harapan (PH), ialah antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan parti itu yang berlangsung lebih tiga jam, di sini, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, ketika ditemui BH selepas mesyuarat berkenaan tamat kira-kira jam 3 petang tadi.

“Adalah dibincangkan sedikit (cadangan supaya BERSATU keluar PH) tetapi kita perlu ikut konsensus,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Usahawan.

Terdahulu, Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, beredar meninggalkan ibu pejabat parti itu tanpa temu bual bersama media.

Beliau meninggalkan Menara Yayasan Selangor yang menempatkan ibu pejabat parti itu, selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Beberapa pimpinan BERSATU lain, termasuk Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang ditemui juga enggan mengulas lanjut.

Sebahagian besar pimpinan tertinggi BERSATU turut berdiam diri dan tidak memberi sebarang ulasan mengenai intipati mesyuarat parti itu, biarpun pelbagai spekulasi politik muncul susulan mesyuarat berkenaan.