Celik kewangan bantu miliki masa depan cerah

Perancangan kewangan penting untuk semua peringkat umur. Bagi yang bujang, perlu merancang kewangan untuk mengadakan majlis perkahwinan. Yang sudah berkeluarga pula, perlu menyediakan sumber kewangan mencukupi untuk pendidikan anak daripada prasekolah hingga mereka menjejakkan kaki ke menara gading.

Graduan yang baru bekerja perlu merancang gaji diterima untuk membayar hutang pendidikan, pembelian kereta dan rumah baharu. Mereka juga sebenarnya sudah perlu mula merancang hari persaraan kelak.

Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023. Ia penting untuk membangunkan masyarakat yang mampu membuat keputusan kewangan yang betul apabila menguruskan perbelanjaan sendiri.

Masyarakat perlu merancang pelaburan mereka bagi masa depan mapan dan melindungi harta daripada penipuan kewangan.

Strategi ini dirumuskan Jaringan Pendidikan Kewangan terdiri daripada Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Agak menyedihkan apabila kajian dijalankan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) dan BNM mendapati satu daripada tiga rakyat Malaysia berasakan mereka mempunyai pengetahuan kewangan rendah dan isi rumah yang berpendapatan rendah, cenderung memiliki tahap pengetahuan kewangan yang rendah.

Inisiatif dirancang membabitkan semua lapisan masyarakat daripada murid sekolah, remaja, dewasa dan bakal pesara serta pesara. Peningkatan kadar literasi kewangan perlu melalui pendidikan kewangan dalam kalangan rakyat bagi membantu mencapai kesejahteraan kewangan.

Tanggal 2 Oktober lalu diisytihar sebagai Hari Perancangan Kewangan Sedunia (World Financial Planning Day) oleh Lembaga Standard Perancangan Kewangan (FPSB) yang berpusat di Amerika Syarikat.

Hari Perancangan Kewangan Sedunia ini adalah satu hari dalam Minggu Pelabur Sedunia yang berlangsung bermula 30 September sehingga 6 Oktober lalu. Program ini dianjurkan Suruhanjaya Pertubuhan Sekuriti Antarabangsa yang bertujuan memupuk kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dan perlindungan kepada pelabur.

FPSB adalah badan penetapan piawaian global untuk profesion perancangan kewangan dan pemilik program pensijilan perancang kewangan bertauliah antarabangsa. Sehingga hari ini FPSB mempunyai badan bersekutu di 27 negara dan satu antaranya ialah di Malaysia menggunakan nama Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM).

FPAM ialah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang terbabit promosi celik kewangan rakyat

.

Diharap dengan pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 dan pembabitan daripada NGO seperti FPAM akan dapat membantu meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Apabila kesejahteraan kewangan mampu dicapai, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan gejala sosial tidak sihat seperti rasuah, mencuri, keciciran pendidikan dan sebagainya.

Salina Abdullah,
Pensyarah Fakulti Perakaunan UiTM Melaka