Chin Peng bukan rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR – Bekas ketua pengganas komunis, Chin Peng sepanjang hayatnya tidak pernah mahu pulang ke Malaysia dan tidak juga memohon untuk menjadi warganegara, kenapa perlu dialu-alukan abu mayatnya dibawa pulang ke tanah air.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, agak mengecewakan apabila bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor sendiri menyambut baik tindakan sekumpulan individu membawa balik abu mayat Chin Peng pada 16 September lalu dan disemadikan di Perak.
Katanya, kenyataan Abdul Rahim itu telah mengguris hati ribuan anggota polis yang masih hidup, tetapi mengalami kecacatan anggota akibat keganasan komunis.

“Kata-kata Abdul Rahim “yang sudah, sudahlah” dan “kalau Chin Peng dibenarkan masuk kenapa abunya tak boleh” tersangat dangkal yang keluar dari mulut seorang yang pernah menjawat jawatan nombor satu dalam pasukan polis.

“Betul, mengikut perjanjian 1989, semua anggota PKM dibenarkan masuk (jika di luar) dan menjadi warganegara apabila telah menerima syarat damai dengan kerajaan Malaysia.

“Tetapi Chin Peng sendiri tidak mahu pulang dan tidak juga memohon menjadi warganegera Malaysia yang merdeka ini apabila berpeluang untuk berbuat demikian pada tahun 1989,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Semalam, Abdul Rahim dilaporkan berkata, kerajaan dan masyarakat perlu menghormati perjanjian damai ditandatangani kerajaan dan Parti Komunis Malaysia (PKM) dikenali sebagai Perjanjian Hatyai 1989 serta tidak mempolemikkan isu abu mayat Chin Peng yang dibawa pulang ke negara ini.

Kata beliau, menerusi perjanjian dimeterai itu, kerajaan tiada halangan menerima kembali rakyat negara ini yang pernah menganggotai PKM termasuk yang berada di luar negara ketika itu.

Menurut Syed Hassan, kenapa Abdul Rahim dan ramai pemimpin kerajaan sibuk membenarkan abu mayat Chin Peng yang bukan warganegara ini dibawa masuk ke Malaysia.

“Rahim nak ambil hati siapa sebenarnya? Nak ambil hati kaum lain janganlah sampai guris hati bangsa sendiri yang sengsara hidup dengan kecacatan sehingga hari ini dan perasaan ahli keluarga mereka yang terbunuh di tangan pengganas komunis termasuk anggota polis di Bukit Kepong dahulu.

“Sudahlah Chin Peng itu bapa pengganas, bukan rakyat Malaysia pun, kenapa pula hendak dibenarkan abu mayatnya dibawa masuk?

“Sepatutnya abu mayat Chin Peng itu ditaburkan di halaman rumah Rahim sahaja sebab beliau tidak kesah,” katanya.

Beliau berkata, warga Perkasa keseluruhannya sangat kecewa dengan kenyataan Abdul Rahim itu. – MalaysiaGazette