COVID-19: 100 kes pulih hari ini, tiada kematian

Sejumlah 100 kes Covid-19 telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih dan discaj di Malaysia ialah 3,862 kes, iaitu 66.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, manakala tidak ada kes kematian dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes yang dibenarkan discaj hari ini hampir dua kali ganda bilangan kes yang dilaporkan.

“Sehingga 26 April pukul 12 tengah hari, terdapat 38 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,780 kes.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,820 kes,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 98 kes (1.70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, seramai 36 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 15 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata seramai 21,466 orang telah menjalani ujian Covid-19 di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sehingga 12 tengah hari ini.

Daripada jumlah itu 638 kes didapati positif Covid-19 iaitu sebanyak 2.97 peratus.

“Didapati bahawa daripada jumlah positif Covid-19 ini, seramai 388 kes (61 peratus) adalah bukan warganegara Malaysia dan baki 250 kes (39 peratus) pula adalah warganegara Malaysia,” katanya.

Tambahnya terdapat pertambahan satu kes baharu di PKPD Menara City One Plaza, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 52 kes, Malayan Mansion (lima kes baharu, keseluruhan 12 kes) dan Pusat Bandar Utara serta Sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur ((sembilan kes baharu, keseluruhan 55 kes).

Beliau berkata bagi aktiviti tertumpu di madrasah atau sekolah tahfiz pula, seramai  6,229 pelajar, guru dan kakitangan telah menjalani ujian Covid-19 sehingga semalam dan daripada jumlah itu 341 orang didapati positif (5.47 peratus).

Dr Noor Hisham berkata seramai 12,672 pengembara warganegara Malaysia yang balik dari luar negara di stesen kuarantin telah menjalani ujian Covid-19 dan daripada jumlah itu seramai 139 orang didapati positif (1.1 peratus).

Beliau berkata daripada jumlah yang dikesan positif itu, 99 kes melibatkan lawatan ke Indonesia, United Kingdom (14), Singapura (13), Turki (lima), Belanda (tiga), Amerika Syarikat (dua), manakala Thailand, Perancis dan Bangladesh masing-masing satu kes. — Bernama