Debat Piala Tun Razak tidak jaga sensitiviti agama

0
6

Tahniah pendebat-pendebat Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang kerana menarik diri dari menyokong tajuk ISLAM TIDAK MENGHALANG HOMOSEKSUAL Debat Piala Tun Razak 2019.

Anda adalah JUARA yang sebenar!

Yang KALAH ialah penganjur yang mempunyai agenda menormalisasikan LGBT!

Yang KALAH ialah penganjur yang membuli pelajar sekolah agama untuk mencabar Al-Quran dan Sunnah!

Yang KALAH ialah penganjur yang menduga sensitiviti umat Islam dan agama persekutuan!

…….

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan ke atas penganjur pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 kerana tidak menjaga sensiviti beragama.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, polis dan pihak berkuasa agama juga perlu sama-sama bertindak atas kemungkinan wujud perlakuan jenayah syariah dan sivil.

“Pihak penganjur telah menyediakan tajuk yang boleh menjejaskan akidah, lebih lagi apabila suatu pihak terpaksa menyokong atau menentang tajuk itu.

“Kita minta ketiga-tiga pihak ini mengambil tindakan segera ke atas penganjur walaupun mereka telah memohon maaf.

“Sikap mereka merobek sensitiviti umat Islam kemudian meminta maaf, tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Sementara itu, memetik portal atas talian Sinar Harian, satu tangkap layar grup WhatsApp bernama IbuBapa F5 SMAPK 2017 memaparkan perbualan berkaitan isu tersebut.

Hal itu tidak sepatutnya berlaku dalam debat bagi pelajar kerana dalam situasi berkenaan seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang dikatakan telah dipaksa menyokong tajuk tersebut.

“Seorang pelajar beragama Islam terpaksa mendukong tajuk menulis semula al-Quran. Apa logik di sini?,” soalnya.

Menerusi tangkap layar itu juga, ia turut mendakwa perkara itu sebagai satu bentuk penindasan dalam kebebasan beragama.

“Pasukan debat SMAPK tarik diri dalam pertandingan itu apabila kena tajuk ini,” katanya.

Menerusi ruang sembang aplikasi itu juga, perkara berkenaan telah dipanjangkan kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik melalui Setiausaha Politik dan Pegawai Khasnya.

“Kita serah kepada pihak bertanggungjawab. Mereka ada kuasa dan kapasiti,” katanya.

Sementara itu juga, juri bagi pertandingan tersebut melalui satu kenyataan telah meminta maaf kepada pihak terlibat terhadap apa yang berlaku.

“Kami dan jawatankuasa Piala Tun Razak 2019 akan mengambil perkara ini sebagai pengajaran bagi memastikan pada pertandingan akan datang tidak berulang lagi,” katanya.