Depok diisytihar darurat kerana hepatitis A

JAKARTA- Pentadbiran bandar Depok dekat sini mengisytiharkan darurat susulan penyebaran wabak hepatitis A yang melibatkan belasan orang pelajar dan guru.

Ini merupakan langkah segera pihak berkuasa bagi membolehkan rawatan sesuai dapat diberikan di samping mengelakkan wabak tersebut terus tersebar.

Pengisytiharan darurat itu dibuat selepas terdapat laporan yang mengatakan pelajar-pelajar dan guru di SMP 20 di bandar yang terletak di Jakarta itu dijangkiti virus berkenaan dalam kawasan sekolah.

Ketua Agensi Kesihatan Depok, Novarita berkata, pihak pentadbiran telah mengubah status tersebut daripada “darurat kecil” disebabkan kebimbangan tinggi penyebaran virus berkenaan.

Tambahnya, daripada 72 sampel darah yang diambil, 51 daripadanya menunjukkan positif hepatitis A.

“Data-data yang kami perolehi, wabak tersebut telah pun tersebar ke luar sekolah,” katanya seperti yang dilaporkan tempo.co.

Dengan status darurat tersebut, agensi kesihatan telah menyediakan bajet khas untuk menampung kesemua perbelanjaan kesihatan bagi penduduk yang tinggal di Depok dan berisiko terdedah kepada virus berkenaan.

Status darurat tersebut bermula pada 20 November sehingga 20 Januari katanya.- Agensi

MalaysiaGazette
1 Disember 2019