Dewan Negara lulus mansuh Akta Antiberita Tidak Benar 2018

KUALA LUMPUR – Dewan Negara hari ini meluluskan pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 (Akta 803) setelah kali kedua dibawa ke persidangan itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin ketika sesi penggulungan RUU berkenaan berkata, pemansuhan itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk memansuhkan undang-undang zalim serta memastikan pihak media mempunyai kebebasan menjalankan proses semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan.

“Kezaliman ini sejarah dan kita tak mahu lagi berulang. Kita tidak boleh memperhambakan manusia menerusi undang-undang yang zalim kerana kebebasan adalah yang paling berharga,” katanya.

Akta 803 diluluskan pada 3 April 2018 sewaktu pemerintahan kerajaan terdahulu.

Pemansuhan bagi akta tersebut diluluskan di Dewan Rakyat kali pertama pada 16 Ogos tahun lepas, namun tidak mendapat sokongan di Dewan Negara yang dibuat melalui undi belah bahagian pada 12 September 2018.

RUU itu kemudian sekali lagi dibentangkan di persidangan Dewan Rakyat dan diluluskan pada 9 Oktober lepas.

Sementara itu, ketika ditemui Bernama, Mohamed Hanipa berkata, undang-undang sedia ada sudah mencukupi dan boleh dipinda sekiranya ia tidak mampu untuk menangani isu berita palsu. – Bernama