Dusun Bonda, Batang Kali

SUASANA hijau, bunyi merdu kicauan burung sambil ditemani deruan air sungai yang mengasyikkan pastinya memukau para pengunjung jika memilih percutian bertemakan perkhemahan.

Mungkin percutian di hotel-hotel mewah atau tepian pantai sesuatu yang biasa tetapi apa kata jika sesekali anda terokai suasana baharu iaitu bermalam ala-ala camping di hutan sambil ditemani bunyi unggas dan cengkerik pada waktu malam.

Mengangkat tema perkhemahan di dalam hutan atau ‘glamping’ sudah pastinya, Dusun Bonda menjanjikan sebuah destinasi percutian yang luar biasa untuk lari dari kesibukan kota raya.

Terletak di Ulu Tamu, Batang Kali, Selangor, Dusun Bonda mula beroperasi sejak awal Oktober lalu dan kini menjadi pilihan percutian utama pengunjung.

Menurut pengasasnya, Azura Othman, 44, penginapan yang bertemakan perkhemahan ini mempunyai tiga reka bentuk berbeza dan dibina atas tanah milik keluarganya.

Tambah Azura yang merupakan seorang ibu tunggal, idea sederhana ini pada mula terhasil apabila dia mahu merealisasikan kenangan zaman kanak-kanak khas buat anak perempuannya.

“Nama Dusun Bonda, saya berikan sempena kawasan penginapan ini dikelilingi oleh dusun buah-buahan, manakala ‘bonda’ ialah nama panggilan bonda saya serta panggilan anak kepada saya,” katanya.

Walaupun bertemakan perkhemahan di hutan, sudah pastinya anda tidak percaya akan kemudahan serta kelengkapan yang disediakan bagi setiap unit khemah.

Seakan-akan di hotel lima bintang, tiga jenis penginapan perkhemahan tampil unik di Dusun Bonda.

Baca lebih lanjut di https://www.mstar.com.my/travel/destinasi/2019/10/30/dusun-bonda/#Ch1wZo5wLDJcdEzQ.99