Hentikan ‘Double Standard’! Khat Jawi Dihina, Kaligrafi Cina Dipuja

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menegaskan agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) hentikanlah ‘double standard’ dalam pertimbangan dan penilaian berkaitan isu khat jawi yang dihina namun kaligrafi Cina pula dipuja.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa agar hentikanlah sikap rasis yang hanya melihat daripada kaca mata kepentingan kaum sendiri sehingga menidakkan hak orang lain

“Berlaku adillah dalam pertimbangan! Tatkala tulisan Jawi dan Khat menjadi mangsa polemik dan diperlekehkan bagaikan pencetus keresahan kaum, kaligrafi Cina pula diangkat sebagai alat pemupuk perpaduan.

“Sedangkan Jawi adalah sebahagian daripada tulisan bahasa kebangsaan yang dijamin Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67,” tegas beliau menerusi laman Facebooknya.

Terangnya, Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas: ‘Bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen.’

“Manakala Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperjelaskan lagi dengan menyebut: ‘Tulisan bagi Bahasa Kebangsaan adalah tulisan Rumi; dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.’

“Hormatilah tiang-tiang seri Perlembagaan yang selama ini menjadi asas kestabilan dan keharmonian rakyat pelbagai agama dan kaum dalam negara,” katanya lagi.

Dilaporkan, Sabtu lalu Majlis Perwakilan Rakyat Zon Lembah Pantai dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menganjurkan sebuah bengkel seni kaligrafi Cina sebagai sambutan menjelang Tahun Baru Cina.

Dalam kenyataannya, pemimpin PH itu didakwa berkata bengkel tersebut bertujuan untuk memupuk semangat muhibbah dan perpaduan kaum tanpa mengira fahaman politik dan agama.

Terdahulu, hasrat pengajaran Jawi di sekolah-sekolah telah mendapat bantahan keras yang membabitkan 1,118 sekolah Cina dan pertubuhan Cina seluruh negara. – UMNO ONLINE