Islamophobia Guan Eng sudah melampau

0
6

Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Lim Guan Eng yang dianggap fitnah jahat apabila cuba menyemarakkan kebencian rakyat terhadap pembangkang berkaitan isu Pakatan Nasional.

Setiausaha Agung DAP itu didakwa konsisten menentang perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas apabila terus memburukkan Islam dengan menuduh imej ektremis.

Malah, beliau turut memainkan sentimen perkauman kononnya apabila Pas memerintah akan menyebabkan penindasan dalam kalangan bukan Islam dan bukan Melayu.

Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kenyataan Guan Eng dilihat sebagai reaksi balas terhadap Pas apabila parti itu mengambil keputusan untuk membawa usul percaya kepada Perdana Menteri dalam sidang Parlimen pada Mac ini.

Menurut beliau, jelas sekali, DAP sedang cuba mewujudkan naratif negatif terhadap Pas dengan menyembunyikan kebimbangan mereka.

Ini kerana apabila usul itu dibentangkan akan terserlah tembelang perpecahan besar dalam kalangan komponen parti Pakatan Harapan (PH) antara penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad atau juga penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

‘Kenyataan beliau sebelum ini juga yang menyifatkan usul percaya yang ingin dibawa oleh Pas adalah songsang dilihat selari dengan pengikut setia mereka iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) apabila Dr Mujahid Yusof Rawa dilihat senada dalam menolak cadangan usul yang ingin dibawa oleh Pas.

“Jelas, agenda DAP mudah di dalam era PH ini apabila Amanah sering menjadi benteng untuk mempertahankan DAP sehingga kita boleh lihat harta, aset, maslahat berkaitan umat Islam semakin dirobek sedikit demi sedikit,” tegasnya.

Nik Muhammad Zawawi berkata, Guan Eng benar-benar melampau dalam penentangannya terhadap Islam malah sengaja ‘membutakan mata’ terhadap keharmonian masyarakat berbilang kaum di bawah pentadbiran kerajaan negeri Kelantan sejak 30 tahun tanpa ada sebarang isu berhubung diskriminasi kaum.

Lantaran itu, beliau berkata, Guan Eng sewajarnya dikenakan tindakan menerusi Akta Hasutan kerana cubaan meniupkan sentimen perbalahan antara kaum dengan menonjolkan Islam sebagai imej ekstremis.

“Ternyata, kebimbangan Guan Eng yang mencerminkan sikap DAP adalah anti Islam. Apa sahaja yang mendaulatkan Islam akan ditentang dengan tohmahan jahat dengan alasan Malaysia sebagai sebuah negara demokratik sedangkan DAP lupa bahawa Islam merupakan agama Persekutuan yang jelas termaktub dalam Perlembagaan.

“DUPP mendesak agar satu tindakan tegas ke atas Guan Eng atas hasutan jahat yang dilemparkannya secara berulang kali. Jika dibiarkan tanpa sebarang tindakan, maka tidak pelik akan datang berlaku rusuhan antara kaum kerana termakan dengan momokan jahat tersebut,” katanya.