Jangan Seret Institusi Mufti ke dalam Politik Kepartian

Tindakan Exco Kerajaan Negeri Perak, YB Asmuni Awi memanggil Timbalan Mufti Perak, Sahibul Samahah Haji Zamri Hashim dalam isu penganjuran Kempen #BMF dilihat merendah-rendah institusi mufti.

Kenyataan Bersama UMNO dan PAS Perak

Kerajaan negeri diingatkan supaya tidak membuat tuduhan melulu terhadap Jabatan Mufti sehingga mengheret institusi itu ke dalam kancah politik kepartian.

Tindakan Exco Kerajaan Negeri Perak, YB Asmuni Awi memanggil Timbalan Mufti Perak, Sahibul Samahah Haji Zamri Hashim dalam isu penganjuran Kempen #BMF dilihat merendah-rendah institusi mufti.

Walaupun pertemuan itu dibatalkan, tetapi arahan awal exco berkenaan membuktikan ada cubaan Kerajaan Negeri untuk melibatkan institusi Mufti ke arah politik kepartian. Cubaan ini adalah usaha untuk campurtangan dan ianya mesti dihentikan dengan segera.

Harus diingat, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dalam satu kenyataan pada 10 September lalu sudah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kempen berkenaan dan ia mestilah dihormati oleh semua pihak termasuk kerajaan negeri.

Perlu diingatkan juga bahawa Jabatan Mufti Perak dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) merupakan dua entiti berbeza.

Berbeza JAIPk yang diselia oleh Exco Agama, Jabatan Mufti adalah dibawah bidang kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Darul Ridzuan.

Sehubungan itu, cubaan untuk memanggil timbalan Mufti secara terbuka akan dilihat sebagai cubaan mencabar kedudukan majlis berkenaan.

UMNO dan PAS Perak yakin majoriti rakyat akan bersama-sama dalam mempertahankan integriti dan kemuliaan institusi mufti daripada sebarang cubaan untuk melemah atau mencabar kedudukan Islam.

YB Dato Saarani Mohamad
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak

YB Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak