Laung ‘Undur VC’ Masa Terima Skrol Ijazah, Mahasiswa Dikecam Ramai

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Menerima ijazah dalam majlis konvokesyen merupakan detik paling manis buat seseorang mahasiswa.

Apa tidaknya? Anugerah itu bukti kesungguhan dan pengorbanan mereka mengutip pengetahuan selama ini diakhirnya dengan sulaman kejayaan.

Pelbagai gelagat biasanya terlihat di pentas bagi menunjukkan kegembiraan masing-masing, namun lain pula halnya dengan seorang mahasiswa mengambil peluang menggunakan momen itu untuk mendesak naib canselornya (VC) letak jawatan.

Tular di Twitter semalam, satu klip video menunjukkan mahasiswa tersebut, Wong Yan mengeluarkan plakad sambil menjerit “Undur VC” selepas beliau menerima skrol dalam majlis konvokesyen di Universiti Malaya (UM).

Dimuat naik Hazwan Syafiq, hantaran yang dikongsi lebih 11,000 warga maya mendapat pelbagai kecaman ramai kerana perbuatan tersebut dianggap tidak beradab. Namun, sebahagian kecaman berbaur isu perkauman.

“Majlis rasmi, dihadiri tetamu kehormat dan ibu bapa. Tahu darah amarah, tapi kau pilih pentas yang salah bro. Melaungkan kata protes atas pentas, menjerit sambil angkat plakad. Mana kesopanan dan kesusilaan kau,” tulis beliau.

Hazwan Syafiq@hzwnsyfq

Bro, you got not common sense is it? Majlis rasmi, dihadiri tetamu kehormat dan ibu bapa. Tahu darah amarah, tapi kau pilih pentas yang salah bro. Melaungkan kata protes atas pentas, menjerit sambil angkat placard. Mana kesopanan dan kesusilaan kau?

“Sumpah aku kesian dekat graduan selepas dia. Rosak dia punya gambar turun pentas,” kata Ruszaini Ruslan.

“Pengurusan UM jangan buat bodoh pula bila budak kurang ajar macam ini. Tidak kira bangsa dan asal mana, kena ambil tindakan kalau tak, lepas ini ada yang baling seluar dalam kepada naib canselor pula,” catat Zaini Rar.

“Ilmu dan adab. Aku lebih menghargai orang yang beradab daripada berilmu,” tulis Shahir Amirul.

Justeru, satu petisyen dibuat terhadap mahasiswa berkenaan supaya ijazahnya ditarik balik. Setakat ini, sebanyak 27,381 tanda tangan dikutip bagi mendesak Wong membuat permohonan maaf secara terbuka.

Mac lalu, Wong yang juga presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) mencetuskan kekecohan ketika Datuk Seri Najib Razak hadir ke pusat pengajian itu.

Beliau ketika itu dikatakan berteriak “mana RM2.6 bilion” dengan mengangkat plakad gambar badut menyerupai wajah bekas perdana menteri.

Sumber
https://www.projekmm.com/news/berita/2019/10/15/laung-undur-vc-masa-terima-skrol-ijazah-mahasiswa-dikecam-ramai-video/1800362/