Mesyuarat Khas UMNO Selangor tidak perlu korum

Beberapa portal media melaporkan mesyuarat badan perhubungan UMNO Selangor tidak cukup korum kerana 16 daripada ahli tidak hadir.

Menurut portal berita berkenaan, seolah-olah berlaku boikot kerana tidak berpuas hati dengan pertemuan Hishammuddin Hussein bersama 17 ahli parlimen UMNO dengan Azmin Ali.

Kami segera mendapatkan penjelasan daripada mereka yang menghadiri mesyuarat berkenaan bagi mendapatkan kepastian. Antara mereka adalah ketua sayap dan ketua bahagian yang hadir.

Penjelasan yang diberikan adalah mesyuarat berkenaan bukan mesyuarat badan perhubungan UMNO Selangor tetapi adalah mesyuarat khas membincangkan mengenai persiapan Perhimpunan Agong UMNO dan program ‘Back to school’ serta perjumpaan khas bersama Wanita, dan sayap Pemuda dan Puteri bagi mengucapkan terima kasih atas peranan mereka semasa kempen Pilihan raya kecil Tanjung Piai. Kesemua ketua dan Wanita dan sayap negeri hadir dalam perjumpaan tersebut.

Mesyuarat tersebut bukan untuk membuat keputusan penting yang memerlukan korum.

Di fahamkan ahli yang tidak dapat datang ada menghubungi melalui telefon sebab ketidakhadiran mereka.

Megat Firdaus ketika ini berada luar negara, Armand Adzha berada di Perak kerana menziarahi ahli keluarga yang sakit, Datok Jahaya membuat pemeriksaan kesihatan dan Dato Ismail Kijo menerima rawatan susulan di hospital. Dato Ikhwan Salim pula menghadiri mesyuarat syarikat yang sudah ditetapkan lebih awal.

Dalam masa yang sama badan perhubungan UMNO bersama PAS akan mengadakan pelancaran Muafakat Nasional peringkat Negeri Selangor yang akan di hadiri oleh Presiden UMNO dan PAS pada 30 November ini. Mesyuarat perlaksanaan program pelancaran tersebut yang melibatkan kepimpinan PAS Selangor berjalan lancar. Pelancaran tersebut akan diadakan d deqan KKC D’Laman Cinta Jalan Kebun, Shah Alam.
………….

UMNO Selangor bergolak, mesyuarat badan perhubungan tak cukup korum

KUALA LUMPUR – Belum pun reda isu pertemuan sulit 17 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di kediaman rasmi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali Isnin lalu, kini giliran UMNO Selangor pula bergolak.

Menurut sumber dalaman, krisis itu timbul apabila 16 daripada 22 Ketua UMNO Bahagian Selangor bertindak memboikot mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Selangor, hari ini.

MalaysiaGazette dimaklumkan, kesemua terbabit berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang didakwa mengetuai pertemuan sulit itu.

Lebih malang apabila kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Selangor yang baharu pula didakwa ‘budak suruhan’ Ahli Parlimen Sembrong itu.

“UMNO Selangor bergolak gara-gara Pengerusi dan Setiausahanya budak suruhan H20.

“Mesyuarat perhubungan gagal tidak cukup koram dan perkara itu pertama berlaku dalam sejarah UMNO Selangor,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Mesyuarat badan perhubungan itu hanya dihadiri oleh 11 pemimpin UMNO Selangor termasuk Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (Hulu Selangor) selaku pengerusi dan setiausahanya, Datuk Nasaruddin M Zin (Klang).

Antara yang hadir ialah Timbalan Pengerusi, Datuk Megat Zulkarnain (Gombak); Bendahari, Datuk Haji Mutalib Rahim (Petaling Jaya) dan Ketua Penerangan, Datuk Abd Rahman Bakri (Sabak Bernam).

Hadir sama Ketua Wanita, Datuk Rosni Sohar; Ketua Pemuda, Rizam Ismail; Ketua Puteri, Widia Wati Abuzar; Ahli Jawatankuasa, Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang); Naib Ketua Pemuda, Amin Mohd Shukor dan Naib Ketua Wanita, Azizah Harun.

MalaysiaGazette difahamkan perselisihan antara beberapa Ketua UMNO Bahagian di Selangor itu bukan kali pertama, sebaliknya memuncak apabila pertemuan sulit itu diketahui umum. – MalaysiaGazette