MIC setuju sertai Muafakat Nasional jika diinstitusikan

KUALA LUMPUR – MIC menyatakan kesediaannya untuk bersama di bawah institusi Muafakat Nasional sekiranya perkara itu direalisasikan.

Presidennya, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, konsep kerjasama yang dibentuk melalui Muafakat Nasional perlu dilaksanakan secara bersistem bagi mengelakkan berlaku percanggahan.

“Saya tidak fikir kerajaan akan membenarkan penubuhan institusi ini. Saya tidak fikir Muafakat Nasional boleh didaftarkan menjadi institusi, kalau boleh baguslah.

“Pada pendapat saya, Pemuda UMNO menegaskan bahawa dalam permuafakatan nasional ini tolong masukkan MCA dan MIC dalam percaturan dan sebagainya..saya mengalu-alukan.

“Kalau kita betul-betul telus nak bekerjasama kena ada permuafakatan dengan bersistem tidak bolehlah kita janji apa semua, esok BN menang Pas dipinggirkan, tidak boleh. Ataupun Pas pinggirkan kita (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa agar Muafakat Nasional iaitu gagasan kerjasama di antara parti itu dan Pas segera diangkat menjadi sebuah institusi seperti Barisan Nasional (BN) yang dianggotai pelbagai parti.

Beliau turut meminta kepimpinan tertinggi parti menjadikan Muafakat Nasional bukan hanya dianggotai UMNO dan Pas, tetapi juga komponen BN seperti MCA dan MIC

Sinar Harian Online
6 Disember 2019