NGO nyamuk lebih baik diam – Zuraida

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan PKR supaya tidak melaga-lagakan pemimpin parti.

Sambil mengibaratkan NGO itu sebagai ‘nyamuk’ dan tidak relevan, beliau meminta mereka tidak campur tangan dengan isu berkaitan PKR kerana kumpulan terbabit tidak tahu perkara sebenar yang berlaku.

“Semua suruh diam, jangan bercakap. Kita sekarang tempoh masa bertenang untuk kedua-dua pihak. Kalau ada nyamuk NGO itu.. biasalah nyamuk terbang kan, biarlah dia nak gigit sana sini sikit.

Kalau gatal, garu saja, ok lah (akan baik),” katanya kepada media selepas merasmikan Projek Komuniti Hab Taman Dagang Fasa 2A/3, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Zuraida bersetuju dengan gesaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu kenyataan perbalahan dalaman parti dihentikan bagi mengelakkan pihak yang tidak terbabit daripada terus mengeluarkan kenyataan.

Sebaliknya, Anwar meminta semua pihak menggunakan saluran dalaman untuk mengemukakan pandangan kerana dilihat dapat ‘menenangkan keadaan’.

Terdahulu Otai Reformis 98 mengeluarkan kenyataan mendesak PKR memecat Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan enam pemimpin parti itu yang didakwa melanggar disiplin parti, khususnya tidak menghormati Anwar.

Enam pemimpin dimaksudkan termasuk Zuraida dan seorang lagi Naib Presiden, Tian Chua; Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha; Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Ketua Angkatan Muda (AMK) Nasional, Muhammad Hilman Idham dan Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr Afif Bahardin.

Namun, Otai Reformis 98 lebih kuat mendesak PKR memecat Zuraida, yang didakwa mengaibkan Anwar dalam ucapan di sebuah hotel di ibu negara minggu lalu.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata NGO yang tidak relevan sepatutnya tidak terbabit dengan isu PKR itu.

“NGO yang tidak relevan tak payah nak terbabit kerana mereka tidak tahu apa perkara sebenar yang terjadi. Untuk kemakmuran negara, saya rasa NGO yang `separuh masak’ ini tak payah cuba melagakan dan membara lagi isu ini,” katanya.

Ditanya adakah NGO yang dimaksudkan itu adalah Otai Reformis, Zuraidah berkata:

“Sesiapapun mereka. Mereka pun seorang dari itu”.

Mengenai cadangan sesetengah pihak supaya Anwar dan Mohamed Azmin berehat seketika sehingga selesai siasatan kes gangguan seksual serta seks yang dikaitkan dengan mereka, Zuraidah berkata, semua pihak perlu menunggu hasil siasatan.

“Kes ini dalam siasatan. Biarlah teruskan siasatan. Selepas siasatan dan dapat keputusan, dari situ kita bertindak,” katanya.

Berita Harian
14 Disember 2019