Orang Asli dilaporkan hilang di Melaka rupanya berjalan 296km ke Sungkai

Bomba menjalankan kerja mencari lelaki Orang Asli di Melaka sebelum mendapati lelaki itu berjalan kaki pulang ke rumahnya di Perak, hampir 300km jauhnya. | muafakatnasional.net

MELAKA: Pemuda Orang Asli yang dilaporkan hilang di Empangan Jus Batang Melaka, Jasin di sini 5 Disember lalu, rupa-rupanya berjalan pulang sejauh 296 kilometer ke rumahnya di Sungkai Perak.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan, berkata pemuda berusia 23 tahun dari Suku Temiar itu dilaporkan selamat tiba di rumahnya kira-kira jam 6 petang, Ahad lalu, dua hari selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pihak berkuasa 6 Disember.

“Pemuda berkenaan juga dilaporkan berkaki ayam ketika tiba di rumahnya di Sungkai, Perak dengan berjalan pulang melalui trek hutan dan jalan raya dari Melaka ke Perak.

“Difahamkan, ini juga bukanlah kali pertama dia dilaporkan hilang dan dalam kejadian terbaru ini, dia dilaporkan selamat tiba di rumahnya tanpa kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jumaat lalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri yang menerima laporan kehilangan individu, menggerakkan operasi SAR pemuda Orang Asli itu yang bekerja sebagai buruh binaan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penolong Penguasa Bomba Soon We Kiang, berkata laporan kehilangan diterima daripada rakan pemuda itu.

“Rakannya memberitahu, pemuda itu datang ke empangan untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan dipercayai hilang ketika hendak buang air kecil.

“Pada hari kejadian, seramai 37 orang terbabit operasi SAR membabitkan bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Semakan di Google Maps mendapati, jarak dari Empangan Jus Batang Melaka ke Sungkai Perak adalah 296 kilometer (KM) jika menaiki kenderaan melalui Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang memakan masa selama empat jam 21 minit.

Jika berjalan tanpa rehat, ia memakan masa perjalanan antara 55 hingga 59 jam atau dua hari setengah.