Pas tidak letak syarat, permintaan untuk tubuh Kabinet

Pas tidak menetapkan sebarang syarat dan permintaan kepada Perdana Menteri dalam pembentukan Jemaah Menteri yang akan dibuat dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesyorkan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin membabitkan golongan profesional untuk membantu kerajaan dalam usaha meningkatkan tahap ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat serta diwujudkan fungsi hisbah dalam pentadbiran.

“Saya menegaskan Pas menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan YAB Perdana Menteri untuk membentuk Jemaah Menteri dalam masa terdekat ini, tanpa syarat dan permintaan,” kata Presiden Pas.

Beliau juga berpandangan individu yang dilantik menganggotai Jemaah Menteri perlu terdiri daripada kalangan yang berintegriti, berkelayakan dan berkemahiran serta mewakili masyarakat majmuk.

Dalam kenyataan itu, Abdul Hadi turut melahirkan penghargaannya atas jemputan Muhyiddin untuk memberikan pandangan awal berkenaan pembentukan Jemaah Menteri yang baharu.