PAU 2019: UMNO MENUJU NARATIF POLITIK BAHARU

Hampir seminggu berlalu Perhimpunanan Agung UMNO 2019 (PAU 2019) melabuhkan tirainya. Semoga semangat UMNO-Sebuah Perjuangan yang menjadi tema PAU kali ini masih terpahat diminda perwakilan dan pemerhati yang hadir.

Pemilihan tema ini juga membuktikan bahawa UMNO serius memperkasakan landasan perjuangannya.

Tambahan pula dengan termeterainya Piagam Muafakat Nasional.

Mesej UMNO-sebuah perjuangan jelas menuntut UMNO melakukan transformasi perjuangan sesuai dengan keperluan politik abad ke-21.

Keperluan dan corak berfikir politik hari ini sudah berbeza berbanding dahulu. Malah, sudut pemahaman anak muda berkaitan politik juga sudah berubah dan berbeza.

Ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden “Muafakat Nasional Pemacu Politik Malaysia” saya telah menggariskan dua budaya baharu politik UMNO yang perlu diterapkan dan disemai ke dalam minda dan jiwa setiap pimpinan dan ahli UMNO, merangkumi yang Pertama, Politik Ketahanan dan yang Kedua, Politik Berimbang. Kedua-dua budaya ini perlu dipandang serius dan dipahat diminda serta jiwa setiap pejuang UMNO.

Minda dan jiwa memainkan peranan terpenting membentuk corak berfikir, cara bertindak, gerak kerja, strategi dan kejayaan setiap manusia dalam organisasi dan kehidupannya di dunia serta di akhirat.

Saidatina Aisyah pernah bertanyakan kepada Rasulullah SAW, “Bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di dunia? Baginda SAW menjawab: Dengan akalnya.

Saidatina Aisyah bertanya lagi: Bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di akhirat? Baginda menjawab: Dengan akalnya.

Lantas Aisyah bertanya: Bukankah seseorang itu mendapat keutamaan dengan amalnya? Lalu Rasulullah SAW menjawab: Seseorang itu beramal mengikut kadar akalnya.” (Riwayat Tirmizi)

Pada waktu tertentu, hati mencorakkan cara kita berfikir, tetapi dalam banyak waktu akal menentukan corak dan bentuk fikiran seterusnya hati. Sebab itu golongan bijak pandai mengungkapkan ‘akal itu pelita bagi hati’.

Mengikut pemerhatian saya, PAU 2019 mempunyai kelainan yang tersendiri terutamanya penerimaan dan cara berfikir.

Jika PAU 2018 membawakan mesej ‘BANGKIT’ tetapi tahun ini kita membawa mesej mengisi ‘KEBANGKITAN’ tersebut.

Bermula dengan penghargaan UMNO kepada presiden PAS, MCA dan MIC duduk sepentas di pentas utama membuktikan UMNO sudah mengorak langkah ke arah transformasi politik.

Saya yakin para perwakilan, pemerhati dan semua yang hadir ke PAU 2019 dapat menyaksikan sendiri bagaimana kepelbagaian dan perbezaan pandangan perwakilan dan pembahas diraikan.

Tiada kekecohan, tiada maki-hamun bahkan tiada aksi tumbuk-menumbuk, baling kerusi dan sebagainya.

Alhamdulillah ini membuktikan para pembahas dan perwakilan PAU berfikiran positif dan semakin matang berpolitik.

Tanpa dinafikan elemen kritikan, sindiran, teguran dan cadangan wujud dan diperbahaskan oleh pembahas tidak kira di kalangan mahasiswa, puteri, pemuda, wanita dan perwakilan negeri-negeri.

Malah kadangkala diselang-seli dengan istilah-istilah nakal bagi menarik perhatian perwakilan seperti pintu depan pintu belakang, perang proksi, politik hanyir, politik Tom & Jerry dan lain-lain. Tetapi setiap perbahasan dan teguran diolah dengan baik dan tertib seumpama “pukul anak sindir menantu” serta terkawal.

Saya meneliti dan perhalusi setiap kritikan, hasrat, dan luahan rasa pembahas. Dapat saya simpulkan kesemuanya menjurus kepada hasrat dan harapan untuk melihat perjuangan UMNO sentiasa pragmatik dan terus releven, bukan sahaja kepada ahli UMNO bahkan kepada seluruh rakyat, kitalah jurubicara rakyat.

Bertitik-tolak daripada harapan itulah naratif politik baharu UMNO pasca PAU 2019, wajar diperteguhkan dengan memperkuatkan daya tahan, daya saing dan daya juang melalui politik ketahanan bagi menghadapi segala godaan tawaran material yang tidak terduga yang kadangkala menggoyahkan prinsip perjuangan.

Perlu kita ingat bahawa perjuangan UMNO bukan seperti barang dagangan yang berunsurkan tawar-menawar dan tolak ansur tanpa bersebab. Tetapi perjuangan ini adalah amanah yang diwariskan kepada kita untuk dipertahankan selamanya.

Minda dan jiwa yang jelas dengan prinsip perjuangan menjadi benteng paling ampuh untuk kita terus kekal di landasan perjuangan.

Ia juga mempengaruhi corak gerak kerja dan motivasi para pejuangnya. Tiba masanya daya berfikir dan gerak kerja bergerak seiring. Pakar psikologi pernah menyebutkan, “manusia sering membazirkan masa kepada perkara yang sama.

Banyak orang fokus kepada hasil bukan proses. Bagaimanapun, setiap orang yang mendapat hasil yang bagus adalah kerana prosesnya yang sempurna”.

Budaya Politik Ketahanan dan Politik Berimbang adalah proses UMNO untuk keluar meninggalkan segala budaya negatif yang dilabelkan sebelum ini.

Kita harus mengorak langkah baharu demi menghadapi cabaran mendatang. Arus modenisasi telah mengubah masyarakat tradisional Melayu kepada masyarakat yang bersifat lebih terbuka dan berlainan paradigmanya, berikutan proses urbanisasi sebagai sebahagian proses modenisasi yang perlu disantuni oleh UMNO.

Harapan saya semoga dua agenda besar PAU 2019 iaitu politik ketahanan dan politik berimbang yang diutarakan dapat difahami dan dihayati oleh semua perwakilan dan ahli UMNO demi kelangsungan perjuangan ini.

Dengan syarat tiada lagi antara kita yang bertindak menebuk bahtera perjuangan UMNO dari dalam dan mempunyai agenda peribadi yang tersembunyi, jelas pemikiran dan tetap pendirian sepertimana kata pujangga arab “Jika kamu mempunyai pemikiran yang baik, maka sertakan dengan azam. Ini kerana rosaknya pemikiran apabila kamu tidak tetap pendirian”.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#salammuafakatnasional
#umnosebuahperjuangan
#muafakatnasionalpemacupolitikmalaysia