#PAU2019: Umno tampil sederhana, lebih inklusif

Berbeza, itulah yang dapat disimpulkan sepanjang empat hari Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2019 yang berakhir petang tadi menyaksikan Umno tampil dengan pendekatan berbeza berbanding tradisinya sebelum ini.

Meskipun tidak “sehangat” seperti ketika berada di puncak kuasa, persidangan tetap berlangsung secara tertib, tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Umno kali ini dilihat mempraktikkan pendekatan sederhana dan tidak ekstrem dalam persidangan tahun kedua selepas parti itu bergelar pembangkang.

Paling ketara, kurang serangan terhadap DAP dapat dilihat di persidangan yang dihadiri lebih 5,000 perwakilan itu.

Hanya ada “sedikit” kritikan perwakilan terhadap DAP ketika membahaskan ucapan dasar, namun serangan itu tidak begitu ketara.

Ia hanya membabitkan isu seperti penghinaan Jalur Gemilang dan kepulangan abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

Sebaliknya Umno lebih memberi fokus kepada menyelesaikan kemelut dalaman parti itu bagi memperkukuhkan kembali bahteranya untuk “belayar” ke Putrajaya.

Letak Islam di hadapan

Namun, apa yang paling menarik perhatian adalah apabila Umno meminda fasal 3 perlembagaan parti itu, apabila klausa agama (Islam) diletakkan di hadapan, dan diubah daripada “bangsa, agama dan negara” kepada “agama, bangsa dan negara”.

Sama ada Umno sudah meninggalkan perjuangan kebangsaannya dengan pindaan perlembaagan itu masih menjadi persoalan.

Namun jika perlembagaannya diteliti, tiga asas tersebut sememangnya telah terkandung dalam perjuangan Umno sejak dahulu.

Perubahan itu mungkin dilakukan berdasarkan senario politik hari ini yang mana kaum Melayu dan Islam mahukan kedudukan mereka diberi perhatian serius orang kerajaan.

Pinda perlembagaan, buka pintu pada orang muda

Pindaan terhadap 13 perkara yang terkandung dalam perlembagaan parti itu semalam, menunjukkan betapa Umno serius mahu melakukan perubahan dan merangka strategi baru sesuai dengan kedudukan mereka sebagai pembangkang.

Pendaftaran keahlian secara automatik dalam talian juga merupakan satu usaha untuk membuka ruang seluas-luasnya kepada orang ramai khususnya anak muda menyertai Umno.

Berbanding sebelum ini, Umno dilihat sebagai parti yang bersifat elitis dan menyukarkan orang ramai untuk menyertainya.

Begitu juga dengan penurunan had usia menyertai Umno daripada 18 kepada 16 tahun, selaras dengan penurunan had usia mengundi di negara ini.

Tidak lagi menguasai kerajaan, Umno melalui sayap pemuda menubuhkan Kelab Mahasiswa Umno Malaysia (KMUM) bertujuan mendekati anak muda khususnya mahasiswa di universiti.

Ia juga selaras dengan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang memberikan kebebasan untuk berpolitik di kampus.

Penegasan Umno hanya ada satu nakhoda

Pendekatan diambil Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi kali ini dilihat lebih banyak menumpukan usaha memperkemaskan jentera parti, menyusun dan merancang strategi untuk merampas kembali tampuk pentadbiran kerajaan daripada PH.

Ini jelas dapat dilihat apabila ucapan dasarnya menyentuh soal keutuhan parti itu, dengan menegaskan bahawa bahtera Umno hanya mempunyai satu nakhoda.

Ketika menyampaikan ucapan penangguhan, Zahid juga membuat ketetapan untuk menutup segala polemik mengenai kerajaan pintu belakang.

Sementara Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dalam ucapan penggulungannya pula mengingatkan perwakilan supaya menjaga kerahsiaan parti dan tidak mendedahkan strateginya secara terbuka.

Tumpu kerjasama dengan PAS

Perwakilan Umno juga lebih cenderung menumpukan hala tuju Muafakat Nasional dengan membincangkan bagaimana kerjasama itu mampu digarap untuk menggugat PH.

Selain isu kerjasama antara Umno dan PAS dibahaskan dengan hangat, isu agihan kerusi juga turut disentuh sehingga ada perwakilan yang meminta Umno supaya sedia mengorbankan kerusinya kepada PAS.

Sementara itu penampilan kali pertama wakil orang Asli iaitu Ramli Mohd Nor yang juga anggota Parlimen Cameron Highlands di pentas PAU dilihat satu usaha Umno memperlihatkan parti itu lebih inklusif dan terbuka serta tidak hanya berjuang untuk Melayu semata-mata.

Pendekatan untuk mendekati masyarakat Orang Asli itu dilihat penting bagi menampakkan Umno kekal relevan bagi mengangkat kedudukan kaum Pribumi dalam arus perdana parti itu.

Kali pertama bukan Islam berucap

Begitu juga, pada perhimpunan sayap Pemuda Umno turut mencatat sejarah apabila buat kali pertama seorang perwakilan bukan beragama Islam diberi peluang berucap dalam sesi perbahasan.

Wakil Pemuda Umno Bahagian Pensiangan, Busiau Ampirak dari Sabah menjadi anggota Pemuda Umno bukan beragama Islam pertama berucap dalam persidangan sayap pemuda.

Pembaharuan ini dibuat Umno untuk tidak menampakkan parti itu hanya dikuasai orang Melayu, sebaliknya juga Bumiputera seperti termaktub dalam perlembagaannya. – Mkini