Pegawai perubatan, anak 8 bulan maut kemalangan

Pegawai Perubatan, Hospital Gua Musang, Kemalangan Maut,

Seorang Pegawai Perubatan dan anaknya berusia lapan bulan meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan kenderaan dinaikinya di Jalan Kuala Krai – Gua Musang, Kelantan pagi ini.

Mangsa, Dr. Nooranisah Mohd Razali meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bayinya meninggal di Hospital Gua Musang (HGM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi posting akaun Facebooknya memaklumkan, Allahyarham Dr. Nooranisah bersama sepasukan pakar bedah dalam perjalanan urusan rasmi ke HGM.

“Bagaimanapun, kenderaan milik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan, menyebabkan Allahyarham Dr. Nooranisah meninggal di tempat kejadian dan anaknya meninggal di HGM.

“Pemandu dan penumpang lain dalam kenderaan itu selamat,” katanya.

Katanya, kenderaan HSIP itu membawa seorang pakar pembedahan, tiga Pegawai Perubatan Jabatan Pembedahan, dua Pegawai Perubatan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi serta seorang bayi.

Kata beliau, punca kemalangan masih dalam siasatan polis.

“Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada suami dan keluarga Allahyarhamah Dr. Nooranisah. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” katanya.