Pemandu mabuk: Cadang penalti lebih berat

WANITA warga China yang dipercayai mabuk dan merempuh penunggang motosikal hingga menyebabkan mangsa maut, direman selama empat hari | MuafakatNasional.net

MUTAKHIR ini kita selalu diberitakan tentang kes kemalangan disebabkan pemandu mabuk. Lebih menyayat hati lagi bila mana yang cedera teruk dan mati adalah mangsa yang tidak bersalah, dilanggar dan dirempuh oleh pemandu-pemandu yang mabuk.

Kita percaya salah satu sebab mengapa pemabuk masih lagi memandu dan membahayakan nyawa orang lain ialah kerana undang-undang sedia ada adalah terlalu ringan dan mereka tidak terkesan dengan penalti yang dikenakan.

Peruntukan undang-undang sedia ada mengenai langgar mati, iaitu Seksyen 43, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ) yang membawa kepada hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan sebenarnya amat tidak memadai dalam menghukum pemandu yang tidak bertanggungjawab terbabit.

Begitu juga dengan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk yang hanya membawa kepada denda antara RM1,000 dan RM6,000 dan atau penjara tidak lebih 12 bulan di bawah peruntukan Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Ini adalah sebahagian insiden yang melibatkan pemandu-pemandu mabuk di seluruh negara untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Berapa ramai lagi rakyat yang tidak berdosa yang akan kita korbankan semasa-mata untuk menjaga kepentingan pemandu mabuk tersebut.

19 November 2019
Serdang
Pemandu mabuk dan tiada lesen memandu kenderaan pacuan empat roda yang melanggar pelanggan sebuah restoran
1 orang maut
4 orang parah
Turut melanggar 3 kenderaan lain

19 November 2019
Butterworth
Pemandu mabuk langgar treler

25 Oktober 2019
George Town
Wanita warga China berusia 24 tahun merempuh motosikal seorang pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
1 orang maut

22 September 2019
Kuching
Pelancong warga Amerika maut dirempuh pemandu mabuk
1 orang pelancong Amerika Syarikat
1 (Isteri) cedera

9 Julai 2019
Kuala Lumpur
Pekerja kontraks maut dilanggar pemandu mabuk
1 orang maut ditempat kejadian

30 Jun 2019
Beluran
Pemandu dipercayai mabuk maut, tiga parah dalam kemalangan di Beluran

16 Jun 2019
Penjual kuih maut dirempuh pemandu mabuk dan khayal ganja
1 orang maut
1 (Suami) parah

1 Jan 2019
Butterworth
Dua pemandu kereta ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk

8 Julai 2018
Tawau
Pemandu mabuk sebabkan kematian 4 orang
4 orang mati
1 orang cedera parah (jadi OKU)

25 Mei 2018
Seorang jururawat maut setelah kereta dihempap kereta lain, dipandu lelaki dipercayai mabuk di Lebuhraya Butterworth-Kulim
1 orang

4 April 2018
George Town
Kontraktor TM maut dilanggar pemandu mabuk
1 Maut
2 Cedera

24 Mac 2018
Dua maut, seorang cedera setelah kereta yang dinaiki terbabas di Jalan Gua Musang-Lojing selepas pemandunya disyaki di bawah pengaruh alkohol
2 maut
1 cedera

8 Jun 2017
Tiga penumpang maut apabila kenderaan mereka dipandu oleh seorang lelaki dalam keadaan mabuk merempuh pokok di tepi jalan Johor Bahru-Melaka
3 maut

14 Mac 2017
Remaja perempuan dipercayai mabuk dan di bawah pengaruh dadah, memandu melawan arus di Tol Sungai Dua menghala ke Butterworth menyebabkan 6 kenderaan kemalangan dan 1 nyawa terkorban
1 maut

4 Mac 2017
Remaja beli makanan untuk nenek maut dirempuh pemandu mabuk
1 Maut

Terlalu banyak insiden kemalangan yang disebabkan oleh pemandu mabuk ini. Di atas hanya lah sebahagian kecil yang sempat saya catatkan. Oleh itu, bagi mengelakkan lebih ramai rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa, maka kami cadangkan penalti yang lebih berat perlu dikenakan kepada pemandu-pemandu mabuk ini atas beberapa sebab:

1.    Mabuk adalah di atas pilihan sendiri. Mereka yang minum alkohol berbuat demikian kerana pilihan sendiri. Mereka sedar bahawa dalam keadaan mabuk, pemikiran adalah dalam keadaan kurang waras dan kadangkala membahayakan orang sekeliling.

2.     Membawa kereta dalam keadaan mabuk juga adalah pilihan sendiri. Walaupun mereka sedar bahawa membawa kenderaan dalam keadaan mabuk adalah membahayakan, namun mereka tetap memandu. Mereka boleh membuat pilihan untuk diam di rumah sehingga kembali waras atau meminta orang lain untuk memandu kenderaan mereka, tetapi pilihan itu tidak digunakan.

Justeru bagi kami, pemandu mabuk yang menyebabkan kematian adalah pembunuh yang berselindung di sebalik keringanan penalti undang-undang disebabkan mabuk mereka.

Maka kami mencadangkan penalti yang lebih berat perlu diberikan kepada pemandu-pemandu mabuk tersebut. Kami juga bersetuju supaya penjualan alkohol secara terbuka perlu diharamkan. Malah, peniaga-peniaga dan pengusaha-pengusaha kelab malam perlu bertanggungjawab di dalam memastikan pelanggan mereka tidak memandu selepas mabuk.

DR MOHD MAZRI YAHYA
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merangkap
Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat. – HARAKAHDAILY