Pemuda Umno persoal Rayer wakil tertuduh sindiket MyKad

Langkah membela tertuduh kes sindiket jual MyKad seakan mengesahkan persepsi bahawa DAP di belakang usaha itu bagi menambah keanggotaan, kata Pemuda Umno.

Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mempersoal tindakan ahli Parlimen DAP Jelutong RSN Rayer membela salah seorang tertuduh yang dilihat mengesahkan lagi tanggapan itu, lapor Sinar Harian.

“Jadi tindakan beliau menawarkan diri sebagai peguam bela dalam keadaan beliau ialah pemimpin DAP hanya mengesahkan lagi persepsi kepada masyarakat,” katanya semalam.

“Apakah itu sengaja hendak dilakukan beliau kerana mereka (DAP) adalah kerajaan dan menzahirkan sikap sebenar mereka yang sedang berkuasa?” kata ketua Pemuda Umno.

Pada 12 September, enam lelaki didakwa di Mahkamah Seksyen Georgetown atas 32 pertuduhan sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta MyKad kepada warga asing.

Dalam prosiding pada 18 September lalu, pasukan pembelaan enam individu itu mengemukakan bantahan untuk tidak memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Rayer memohon kebenaran mahkamah untuk anak guamnya membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul, diludah dan dipaksa menandatangani dokumen ketika dalam tahanan polis.

Rayer mewakili tertuduh kedua Datuk Lai Chin Wah.