Penipuan dalam talian: Polis Melaka tahan 51 warga China

MELAKA: Kegiatan sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di sebuah taman perumahan di Klebang di sini, terbongkar selepas premis disewa mereka di kawasan berkenaan untuk jenayah berkenaan, diserbu polis pada Selasa lalu.

Sebanyak enam premis di kawasan perumahan itu diserbu dalam gerakan dinamakan ‘Op Pelican’ selama lima jam bermula 3 petang itu sebelum 51 warga China, termasuk 10 wanita ditahan bersama seorang lelaki serta seorang wanita tempatan.

Pemeriksaan lanjut mendapati semua warga China berkenaan masuk ke negara ini sebagai pelancong pada awal September lalu dengan menggunakan pas lawatan sosial.

Ketua Polis negeri, Datuk Mat Kasim Karim, berkata operasi dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka hasil risikan kira-kira sebulan.

“Semasa serbuan dilakukan, semua yang ditahan sedang melayari internet, dipercayai sedang melakukan aktiviti penipuan dalam talian seperti tawaran pinjaman wang dan perjudian,” katanya hari ini.

Katanya, polis antara lain merampas komputer riba, telefon bimbit serta buku rekod dari premis berkenaan.

Mengenai modus operandi mereka, beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai menyasarkan warga China dan aplikasi ‘QQ’ serta ‘WeChat’ untuk mencari mangsa.

“Ahli sindiket menggunakan skrip tertentu seperti ayat-ayat cinta, perkenalan, bantuan kewangan dan skim pelaburan bagi memperdayakan mangsa.

“Selepas berjaya mempengaruhi mangsa, mereka mula menawarkan pinjaman antara 20,000 hingga 200,000 yuan dan meminta deposit lima peratus daripada pinjaman. Bayaran deposit itu dimasukkan ke akaun bank di China.

“Selepas pembayaran deposit dibuat, ahli sindiket akan memutuskan perbualan dengan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, semua individu yang ditahan berusia 25 hingga 45 tahun, disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Semalam, Jabatan Imigresen mengumumkan penahanan 680 warga China berusia 19 hingga 35 tahun selepas menyerbu sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya yang menjadi markas operasi sindiket penipuan dalam talian.

Dalam serbuan pada Rabu lalu itu, pihak berkuasa turut merampas 8,230 unit telefon bimbit, 174 unit komputer riba dan 787 unit komputer peribadi.

Modus operandi sindiket itu adalah menyasarkan mangsa di China dengan menawarkan keuntungan tinggi dan pantas menerusi pelaburan tidak sah, termasuk Forex.