Penutupan projek Lynas bukan manifesto Pakatan Harapan

Semua Ahli Parlimen kerajaan perlu menghormati keputusan kerajaan untuk meneruskan projek terbabit.

Penutupan operasi kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) tidak terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) seperti yang sering dibangkitkan, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Justeru beliau berkata semua Ahli Parlimen kerajaan perlu menghormati keputusan kerajaan untuk meneruskan projek terbabit serta mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk di kawasan terlibat.

“Tidak pernah ada dalam manifesto PH untuk tutup Lynas pada Pilihan Raya Umum ke-14. Semua orang boleh tengok dan semak kalau ada.

“Saya minta rakan-rakan dalam PH janganlah bangkitkan perkara ini sehingga timbulkan rasa tidak selesa kepada penduduk kerana pakar sudah sahkan kilang ni selamat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Usahawan Terengganu di sini, pada Ahad.

Seramai 200 usahawan dari seluruh negeri menyertai program tersebut yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT).

Dalam perkembangan lain, Mohd Redzuan berkata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) perlu mengkaji semula undang-undang yang memerlukan operator dron mendapatkan kelulusan untuk penerbangan walaupun untuk tujuan percubaan.

Menurut beliau CAAM sepatutnya memberi kelonggaran dalam sesetengah keadaan bagi menggalakkan perkembangan industri aeroangkasa sekali gus menggalakkan lebih ramai usahawan menceburkan diri dalam bidang berkaitan.

Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya diwujudkan persekitaran atau undang-undang yang menyokong perkembangan industri aeroangkasa kerana Malaysia sudah agak jauh ketinggalan.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata beliau tidak mempunyai masalah sekiranya digugurkan daripada jawatan menteri kabinet yang disandangnya pada masa ini.

Beliau berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohd mempunyai kuasa penuh untuk melantik atau menggugurkan mana-mana menteri berdasarkan penilaian ke atas prestasi masing-masing.

“Saya cuma menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan untuk berkhidmat kepada rakyat sejak 2 Julai tahun lalu,” katanya.