Polis akan rakam keterangan Anwar – Pengarah JSJ

KUALA LUMPUR: Polis akan merakam keterangan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu siasatan dakwaan perlakuan tidak senonoh terhadap bekas penyelidik di pejabat PKR, Muhammed Yusoff Rawther.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata keterangan Presiden PKR itu dan beberapa saksi lain akan direkod selepas polis mendapat tarikh temu bual yang sesuai.

“Rakaman percakapan pengadu, Muhammed Yusoff, sudah diambil di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Polis turut merampas kertas akuan bersumpah yang dibuat pengadu. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Huzir menggesa orang ramai berhenti membuat sebarang spekulasi bagi memberi ruang polis menjalankan siasatan tanpa gangguan.

“Sebarang kenyataan atau artikel berkaitan perkara ini tidak sewajarnya dimuat naik atau dikongsi dalam media sosial.

“Penularan kenyataan dan bahan berkaitan isu ini dikhuatiri akan menimbulkan suasana tegang di dalam negara,” katanya

Huzir berkata, pihaknya boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap individu yang menyebarkan maklumat palsu.

“Kita juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati sengaja mensensasikan isu itu,” katanya.

Semalam, Muhammed Yusoff dipanggil kali kedua ke Bukit Aman bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.

USJT Bukit Aman yang mengendalikan siasatan kes salah laku didakwa membabitkan Anwar itu, turut memanggil ahli keluarga Muhammed Yusoff.