Pos BBP atas air pertama di Malaysia dibuka hari ini

SEMPORNA: Pos balai bomba dan penyelamat (BBP) atas air bernilai RM200,000 yang pertama seumpamanya di Malaysia, dibuka serta beroperasi secara rasmi di Jeti Pelancongan Semporna, di sini, hari ini.

Penubuhan pos BBP di kawasan penempatan dan perkampungan atas air itu dijangka dapat meminimumkan masa respons pasukan bomba ketika berdepan sebarang situasi kecemasan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah, berkata untuk permulaan, pos terbabit menempatkan tiga bot sebagai aset operasi.

Beliau berkata, pos itu juga beroperasi dengan kekuatan 20 pegawai bomba bantuan (PBB) terlatih terdiri daripada anak jati Semporna bersama tiga penyelia dan seorang ketua balai.

“Tiga fungsi atau komponen utama pos ini ialah operasi memadam kebakaran, mencari dan menyelamat (SAR) serta sebagai Unit Bantuan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) atau ambulans air.

“Bagaimanapun, kita dijangka memperoleh sebuah lagi bot ‘fire fighting’ yang lebih besar dengan kapasiti tiga tan untuk ditempatkan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci dan Menandatangani Dokumen Penyerahan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Semporna, Benedict Asmat; Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Zuraidah Latip; dan Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat.

Sementara itu, Benedict berharap kewujudan pos BBP berkenaan akan dapat menangani isu kesukaran operasi bomba di kawasan penempatan atas air di daerah ini.

“Ada lebih 10 perkampungan atas air di sini yang berdepan risiko sekiranya berlaku kebakaran yang boleh membawa kemusnahan harta benda.

“Justeru, bagi pihak warga daerah Semporna, diucapkan terima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang memberi peruntukan, sekali gus membolehkan Majlis Daerah Semporna (MDS) sebagai agensi pelaksana merealisasikan projek ini,” katanya.

Berita Harian
12 Disember 2019