PRK Kimanis ditetapkan pada 18 Januari depan

Peta kawasan Pilihan Raya Kecil pada sidang media PRK Parlimen P.176 Kimanis di Menara SPR, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 16 DISEMBER 2019

Putrajaya – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabah P176 pada 18 Januari 2020.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun sebentar tadi berkata,  penamaan calon telah ditetapkan pada 4 Januari (Sabtu) manakala tarikh mengundi awal ialah pada 14 November (Selasa).

Tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas penamaan calon dan berlangsung sehingga 11.59 malam pada 17 Januari 2019.

“Tarikh buka dan tutup permohonan undi pos pengundi dalam dan luar negara adalah 16 Disember 2019 dan ditutup pada 2 Januari 2020.

“Anggaran kos bagi menjalankan PRK ini adalah RM 3.6 juta,” katanya dalam sidang media di Menara SPR, Putrajaya, hari ini.

PRK Kimanis merupakan yang ke-10 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada PRU-14, Datuk Seri Anifah yang merupakan bekas Menteri Luar memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi.

Isnin lepas, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan berlaku kekosongan kerusi Parlimen Kimanis bermula 10 Disember lalu berikutan penerimaan perakuan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan keputusan pilihan raya umum bagi parlimen itu yang disandang Anifah pada 9 Mei 2018 adalah tidak sah dan terbatal – MalaysiaGazette