#PRKKimanis: Terima kasih kepada seluruh pengundi – Wee Ka Siong

Tahniah Datuk Mohamad Alamin di atas kemenangan dalam pertempuran satu lawan satu di PRK Kimanis. Lebih menggembirakan, PRK di Kimanis ini Barisan Nasional menang dengan majoriti undi yang jauh lebih besar berbanding PRU14 lalu.

Tidak dilupa ucapan terima kasih kepada seluruh jentera semua peringkat BN, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Progresif Sabah (SAPP), PAS, Friends of BN, anak-anak muda dan para penyokong BN.

Kemenangan BN buat 5 kali berturut-turut dalam PRK sejak PRU14 pada 9 Mei 2018 lalu membuktikan bahawa rakyat benar-benar muak dan tidak yakin lagi dengan pemerintahan Pakatan Harapan dan Parti Warisan di peringkat Negeri.

Biarpun PH dan Parti Warisan menabur macam-macam peruntukan, walaupun PH memiliki kekuatan jentera kerajaan termasuk media utama, tetapi rakyat sudah bijak memilih wakil rakyat mereka.

Mesej rakyat di Kimanis ini sama seperti di Semenyih, Rantau, Cameron Highlands dan Tanjung Piai iaitu, rakyat benar-benar terluka dengan kerajaan PH yang bukan saja gagal menunaikan janji manifesto bahkan juga gagal menjaga hak dan kepentingan rakyat.

Saya yakin dan percaya Datuk Mohamad Alamin akan menjadi seorang wakil rakyat yang berwibawa dalam memperjuangkan nasib warga Kimanis serta menjalankan semak dan imbang kerajaan PH.

Sekali lagi tahniah dan terima kasih pengundi Kimanis!

#BNbangkit
#RaduTatapRadu
#HidupRakyat

Wee Ka Siong