#PRKTanjungPiai: 53 peratus pengundi awal keluar undi setakat jam 11 pagi

PONTIAN – Peratusan pengundi awal yang keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai setakat jam 11 pagi sudah mencecah 53 peratus.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom berkata, sehingga kini, sejumlah 151 daripada keseluruhan 280 pengundi awal sudah menjalankan tanggungjawab mengundi awal.

Menurutnya, kesemua pengundi awal dikenal pasti anggota dan pesara polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.

Setakat ini perjalanan hari pengundian awal berjalan lancar dan tiada masalah.

“SPR sangat berpuas hati dan kita nampak ramai pengundi datang mengundi menggunakan kad pengundi.

Ianya perkara baik dan saya harap pengundi lain akan menggunakan sepenuhnya kad pengundi untuk memudahkan urusan pengundian,” katanya sewaktu mengadakan lawatan di pusat pengundian awal di IPD Pontian hari ini.