#PRKTanjungPiai: Kalau ikutkan, saya orang pertama yang kecewa

Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan bercakap kepada media semasa sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai sekitar kawasan Pekan Nenas, Johor. 

Penyokong-penyokong UMNO diminta supaya membuang perasaan kecewa dan kecil hati ekoran Barisan Nasional tidak mencalonkan wakil dari parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan berkata, perasaan kecewa itu tidak wajar ada pada diri orang-orang UMNO yang menjadi pengundi di kawasan Parlimen berkenaan.

Sebaliknya, ia patut diterjemahkan kepada Kerajaan Persekutuan yang tidak menunaikan janji, sebagaimana yang dilafaz pada Pilihan Raya Umum (PRU14) 9 Mei tahun lepas.

Katanya, jika rakyat terutama penyokong-penyokong UMNO mahu menolak Pakatan Harapan (PH) mereka perlu bersatu bagi menambah kekuatan kepada BN agar mencapai kemenangan pada PRK tersebut.

“Kalau ikutkan kecewa, saya orang pertama yang kecewa sebab saya dicalonkan dalam pertimbangan calon.

“Tetapi oleh kerana telah diperjelaskan dan kita mencari calon yang terbaik,  saya sanggup turun penamaan dan kita membuat persiapan serta bergerak dari PDM ke PDM (Pusat Daerah Mengundi) untuk memastikan sokongan padu itu kita berikan kepada calon Barisan Nasional,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Sebelum ini, nama Jefridin disebut-sebut menjadi calon pada PRK berkenaan.

Manakala, satu lagi nama yang turut dikatakan dalam senarai calon ialah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

UMNO yakin bahawa hampir 53,000 pengundi berdaftar di kawasan berkenaan yang terdiri daripada 57 peratus Melayu pasti memberikan sokongan padu kepadanya.

Malah, tahap sokongan itu didakwa semakin bertambah selepas UMNO dan Pas menandatangani Piagam Penyatuan Ummah, sekali gus mencetuskan aspirasi politik baharu, Muafakat Nasional, baru-baru ini.

Berdasarkan majoriti 524 undi yang diperoleh penyandang, Allahyarham Datuk Dr. Mohamed Farid Md. Rafik menewaskan calon MCA, Datuk Wee Jeck Seng yang mewakili BN dan Nordin Othman daripada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) – menguatkan ramalan bahawa gabungan pembangkang mampu merampas semula kerusi tersebut daripada PH.

Dalam pada itu, Jefridin berpesan agar jentera BN terus berusaha bagi memastikan kemenangan dicapai oleh calon mereka.

Ujarnya, langkah itu penting jika mereka mahu melihat kerajaan yang ada pada hari ini ditolak setelah dianggap zalim kepada rakyat.