#PRKTanjungPiai: PH kalah bukan sebab protes tapi rakyat sudah benci

0
8
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berucap ketika merasmikan Majlis Penutup Program Latihan Asas Siri 4/2019 Pergerakan Pemuda UMNO di Institut Latihan Memperkasa Ummah (Ilmu), Janda Baik, Bentong, Pahang.

Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai semalam bukan kerana protes sebaliknya penolakan rakyat kerana sudah benci kepada parti pemerintah itu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rakyat bukan sahaja membenci kerana pembohongan PH bahkan sikap angkuh yang ditunjukkan oleh menteri-menterinya.

“Saya merasakan ialah penolakan rakyat terhadap PH yang sentiasa saja menipu, berbohong, sombong dan bila bercakap bongkak.

“Cuba tengok menteri-menterinya bila bercakap, tiada ada langsung keredhaan dan kerendahan diri, bercakap seolah-olah rakyat ini bodoh dan tiada pelajaran, rata-rata rakyat sudah belajar.

“Jangan perbodohkan rakyat, kalau tak boleh (tunai) kata tak boleh, kena minta maaf. Jangan kata itu ini, bagi bermacam alasan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Mohamad merasmikan Majlis Penutup Program Latihan Asas Siri 4/2019 Pergerakan Pemuda UMNO di Institut Latihan Memperkasa Ummah (Ilmu), Janda Baik, di sini.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng memenangi PRK Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi, semalam.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu memperoleh 25,466 undi, menewaskan pencabarnya iaitu calon PH, Karmaine Saidini yang memperoleh 10,380 undi.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung 21 September lalu.

Enam calon terbabit, calon Pakatan Harapan (PH) dari BERSATU, Karmaine Sardini, 66; calon BN dari MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan calon (GERAKAN), Wendy Subramaniam.

Mohamad tidak menolak kemungkinan penolakan itu disebabkan sikap pemimpin PH sendiri yang menghina rakyat apabila dikritik kerana tidak menunaikan janji.

“Minyak sawit rendah (harga) suruh minum satu sudu, apa ker gila ini, tak boleh macam itu. Jangan hina orang dengan cara ini, sebab itu orang tolak dia,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad juga berkata, mengingatkan pemimpin dan anggota UMNO agar tidak lupa diri dengan kemenangan itu.

“Alhamdulillah rakyat sudah benci, UMNO pula kita jangan bodoh sombong, jangan kata kita sudah bagus, MCA sudah kuat, jangan begitu.

“Kita buat kerja kita saja, sudah habis Tanjung Piai semalam, kita datang sini (Janda Baik) tanam semangat supaya kita kuat,” katanya.

Katanya lagi, akhlak pemimpin mana-mana parti politik menjadi kayu pengukur kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat.

“Dalam agama, akidah kita mesti ada, akidah ada kalau tak beribadah pun tak guna.

“Kalau ada akidah, tapi akhlak tak betul, ini kadang-kala orang lihat akhlak kita, gambaran parti itu adalah akhlak pemimpin, akhlak orang-orang UMNO.

“Parti tak ada apa-apa tapi kerana akhlak tersebut tak menggambarkan bahawa parti itu baik, jadi akhlak mesti baik dan integriti mesti ada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette