[Resepi] Kek nasi semalam Cik Sue

0
10

SELEPAS 20 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan barangkali ramai di antara kita sudah jemu makan nasi setiap hari sampai masak berlebih-lebih yang akhirnya dibuang begitu sahaja.

Jika tak tahu nak buat apa dengan nasi semalam, selain nasi goreng apa kata cuba resepi kek nasi yang bukan sahaja mudah tetapi cukup menyelerakan. Anak-anak tentu suka!

Tiada peraturan khusus untuk resepi ini, anda boleh gunakan apa sahaja bahan yang ada di dapur seperti udang kering, ikan bilis dan sebagainya.

Bahan-bahannya:

2 keping roti dibuang keraknya

2 cawan nasi sejuk

3 biji bawang merah dipotong halus

1 labu bawang putih dipotong halus

1 biji cili merah atau hijau dipotong halus

1 tangkai daun bawang dipotong halus

2 sudu makan udang kering (direndam sehingga lembut dan dicincang halus)

Garam secukup rasa

Cara-cara membuatnya:

1. Rendam roti dalam air sehingga lembut (1 minit). Kemudian perahkan air daripada roti sebelum dimasukkan ke dalam mangkuk

2. Masukkan nasi sejuk, bawang, bawang putih, daun bawang, udang kering, garam dan lada dan gaul bersama roti sehingga sebati.

3. Bentukkan adunan itu kepada beberapa bahagian.

4. Gorengkan dalam minyak dengan api sederhana sehingga keemasan. Sedia dihidangkan. – KUALI