Sarawak letak tiga syarat bentuk Kerajaan PN Plus GPS

Abang Johari merakamkan kenangan bersama tetamu yang hadir pada Sesi Townhall Berambeh Ngan CM Abang Jo di Kampung Gedong, Simunjan hari ini. - Gambar UKAS

KUCHING: Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) meletakkan tiga syarat dalam pembentukan kerajaan baharu persekutuan Perikatan Nasional (PN) Plus GPS. 

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata GPS menerima pelawaan pembentukan kerajaan baharu persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara bersyarat.

Pertama katanya, hak Sarawak mesti diakui, kedua undang-undang Sarawak ke atas hak minyak dan gas mesti diakui dan ketiga, tidak mahu menyertai PN dan hanya sebagai rakan kepada PN menerusi GPS.

“Ada orang lamar kita Sarawak untuk jadi rakan kerajaan pusat di bawah Muhyiddin. Kalau niat baik, kita sambut dengan baik.

“Selepas rundingan antara GPS (Tan Sri James Jemut Masing, Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Datuk Seri Tiong King Sing) dan semalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), kita terima lamaran tetapi ada mas kahwinnya (syarat),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanatnya pada Sesi Townhall Berambeh Ngan CM Abang Jo di Dewan Terbuka Kampung Gedong, Simunjan hari ini.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS menjelaskan, Sarawak memutuskan menyokong Muyhiddin sebagai Perdana Menteri kerana mahu memastikan Malaysia aman serta ada pemimpin dan kerajaan.

“Sarawak telah menyelamatkan Malaysia pada hari ini. Kalau tidak ada Sarawak, negara kita kucar-kacir.

“Saya di Sungai Asap minggu lalu, tetapi di Kuala Lumpur berasap mencari saya kerana ketentuannya dari tangan Sarawak.

“Akhirnya kita buat keputusan, Sabtu lalu, saya maklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, bahawa kita sokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Datuk Naroden Majais berkata Sarawak melalui GPS diketuai Abang Johari telah menentukan siapa Perdana Menteri.

“Sarawak yang telah menyelamatkan pergolakan politik dan ekonomi Malaysia.

“Saya sebagai rakyat Sarawak amat berbangga dengan tindakan GPS diketuai Abang Johari,” katanya yang juga Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan.