Segambut Permai: Jangan samakan pampasan surau dengan rumah

KUALA LUMPUR – Persatuan Penduduk Kampung Segambut Luar melahirkan rasa kesal apabila pemilik tanah Segambut Permai hanya menawarkan bayaran pampasan sehingga RM7,000 sahaja kepada surau di situ, sama nilai dengan pampasan yang diberikan kepada penduduk terbabit.

Pengerusinya, Datuk Abdul Hadi Md Zam menegaskan, memandang Surau Al-Firdaus itu dibina menggunakan dana Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), nilai pampasannya sepatutnya berbeza dan lebih tinggi daripada rumah penduduk.

“Dari segi pampasan, tak boleh sama surau ini yang juga pusat aktiviti masyarakat kerana kerajaan yang berikan peruntukan dan ditauliah oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Sepatutnya isu pampasan surau ini dibincangkan secara berasingan daripada keseluruhan rumah Segambut Permai. Setakat ini perbincangan dengan kami tak ada,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Surau Al-Firdaus antara bangunan yang dibina di atas tanah Segambut Permai bakal dirobohkan bersekali dengan 33 unit rumah lain dalam penempatan yang mula dibangunkan sejak lebih 60 tahun lalu.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan, sekiranya pampasan yang sewajar tidak dapat disediakan, dia menggesa pihak kerajaan mengambil alih kawasan itu bagi mengekalkan surau terbabit yang berfungsi sebagai pusat komuniti setempat.

“Saya ada berjumpa dengan Hannah Yeoh minta dia kekalkan binaan surau ini. Dulunya surau ini dewan masyarakat dan kemudian dinaik taraf menjadi surau kepada penduduk Kampung Segambut Luar.

“Ketika pentadbiran lama, pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan surau ini didirikan malah diberikan pula peruntukan untuk rumah ibadat orang Islam di sini.

“Selain berfungsi sebagai surau, ia juga berperanan sebagai dewan orang ramai yang digunakan sebagai tempat kenduri kendara, pusat penyediaan makanan kepada Masjid Al-Firdaus dan boleh digunakan masyarakat setempat,” katanya.

Ditanya tentang wang pampasan itu sekiranya surau terbabit dirobohkan, beliau berkata, ia akan disumbangkan kepada tabung Masjid Al-Firdaus, dua minit perjalanan dari kampung terbabit.

“Pampasan yang sewajarnya perlu diberikan untuk surau ini bagi membiayai pelbagai program dan pembinaan tambahan bagi Masjid Al-Firdaus tidak jauh dari kampung ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette