Siapa kata demokrasi mati?

SEKIRANYA Yang di-Pertuan Agong terus menerus membiarkan negara tanpa Ketua Kerajaan, itu sebenarnya keadaan demokrasi telah mati. Demokrasi juga tidak dapat berjalan dengan baik andainya tiada Ketua Kerajaan.

Demokrasi yang ada dalam negara kita tidak semestinya melalui pembubaran dewan. Demokrasi boleh dilangsungkan menerusi Parlimen. Yang di-Pertuan Agong telah mengembalikan demokrasi kepada Parlimen.

Sekiranya Yang di-Pertuan Agong telah yakin dengan jumlah Ahli Dewan yang menyokong calon Perdana Menteri pada ketika baginda menitahkan dan memperkenan pelantikannya, maka ia adalah keputusan baginda jua.

Sekiranya baginda mempunyai pandangan lain selepas itu, itu adalah dalam kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong jua.

Namun, apabila diperhati langkah-langkah dan tindakan yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong, iaitu termasuklah:

(1) meneliti Akuan Bersumpah yang menyatakan kepercayaan kepada Perdana Menteri;

(2) mengadakan sesi pertemuan bersama setiap Ahli Dewan Rakyat secara individu;

(3) meminta seorang calon dari parti-parti politik; dan

(4) melanjutkan masa bagi penyerahan surat akuan adalah memadai dan menunjukkan ketelusan baginda apabila berhubungan dengan individu Ahli Dewan Rakyat dan juga parti-parti politik.

Adakah perlu ditambah masa lagi untuk parti-parti politik menyerahkan semula senarai Ahli Dewan? Sampai bila? Dan, dan sampai bila demokrasi perlu ditangguhkan lagi oleh baginda?

Semestinya baginda mengambil kira faktor keselamatan dan faktor sampingan atau kesan-kesan lain ekoran daripada titah dan perkenan Tuanku tentang lantikan Perdana Menteri semalam. Kita melihat Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera juga dititah mengadap.

Justeru, segala kemelut ini hendaklah berakhir. Taat setia dan patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong adalah tindakan paling baik dan paling sesuai untuk mengembalikan demokrasi sebagaimana acuan dan kerangka Perlembagaan Persekutuan. Demokrasi di Malaysia ada demokrasi berasaskan peruntukan Perlembagaan. Selagi tiada keputusan daripada Istana, selagi itu demokrasi sepertimana dalam Perlembagaan tidak boleh berjalan lancar.

Dr Shamrahayu A. Aziz adalah pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)