Sudah-sudahlah Dong Zong… cetus provokasi jejaskan keharmonian kaum – Najmil Faiz

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Jelas menunjukkan Dong Zong adalah pertubuhan yang rasis dan anti nasional kerana tidak mahu menerima kepelbagaian kaum lain sebagai salah satu bentuk perpaduan, bidas Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris.

Katanya, walaupun telah diberi amaran oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir, Dong Zong tetap berkeras mahu mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember akan datang untuk membantah penerapan pengenalan tulisan Jawi dalam subjek teras iaitu Bahasa Melayu sekolah vernakular.

“Dong Zong juga tidak mempunyai sikap toleransi antara kaum di mana orang Melayu telah banyak bertolak ansur terhadap kaum lain misalnya menerima budaya, warisan serta kepentingan kaum lain demi mencapai kemerdekaan dan untuk hidup bernegara.

“Sudah-sudahlah Dong Zong mencetus provokasi yang mampu menjejaskan keharmonian kaum.

“Belajarlah bertolerasi dan menerima kepelbagaian kaum di Malaysia serta menghormati status quo orang Melayu seperti yang dipersetujui dalam kontrak sosial,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Tambah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu lagi, sikap radikal Dong Zong merupakan punca kepada pepecahan etnik dan seharusnya pertubuhan ini diharamkan kerana hanya mahir mencetuskan konflik. – UMNO ONLINE