Tawar hadiah pada pengundi, Menteri Perdagangan Jepun letak jawatan

Di Jepun, menteri letak jawatan kerana bagi pengundi tembikai, ketam. Negara lain siap janji babi terbang lagi…relaks ja.

TOKYO: Menteri perdagangan baharu Jepun meletakkan jawatan selepas dituduh mencabuli undang-undang pilihan raya, dengan menawarkan wang dan hadiah kepada pengundi, kata Perdana Menteri, Shinzo Abe hari ini.

Kedudukan Isshu Sugawara menjadi panas selepas sebuah majalah melaporkan bahawa beliau disyaki terbabit membayar 20,000 yen (RM770) kepada sebuah keluarga di parlimennya.

Beliau juga dilaporkan memberi hadiah kepada pengundi lain, termasuk buah tembikai dan ketam segar yang mahal, lapor agensi berita Kyodo.

Kesemua jumlah hadiah itu walaupun kecil, dianggap mencabuli undang-undang pilihan raya Jepun.

Shinzo berkata, Isshu menyerahkan surat peletakan jawatan selepas mesyuarat kabinet dan beliau menerima keputusan berkenaan.

“Saya bertanggungjawab melantik beliau dan dengan ini, meminta maaf setulus hati kepada semua rakyat Jepun,” katanya.

Menurut Shinzu, jawatan disandang Isshu akan digantikan oleh Hiroshi Kajimaya, bekas menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal luar bandar.

Dalam kenyataan kepada Perdana Menteri dan wartawan, Isshu berkata beliau tidak berniat menyebabkan perkara itu berlaku.

Beliau dilantik dalam rombakan kabinet baru-baru ini, tetapi tidak terbabit memegang portfolio utama yang bertanggungjawab mengendalikan rundingan bersama Amerika Syarikat.

Tugas berkenaan kekal di bawah seliaan bekas Menteri Perdagangan, Toshimitsu Motegi yang kini menyandang portfolio Menteri Luar. – AFP