Tindakan yang aneh lagi ganjil oleh Joseph Lim Guan Eng – Ka Siong

1. Terbukti Lim Guan Eng menyerahkan RM40 juta kepada Persatuan Alumni TAA, bukannya Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KU TAR)! Ini sekaligus mencipta satu rekod iaitu peruntukan pendidikan diberikan kepada Persatuan Alumni dan bukannya pemilik institusi itu sendiri. Ini tindakan yang aneh lagi ganjil oleh Lim Guan Eng!

2. Ramai sudah mendedahkan mengenai pemimpin TAA yang mempunyai hubungan akrab atau merupakan buddies / kroni Lim Guan Eng sejak 18 bulan yang lalu. Maka, tak hairanlah RM40 juta diberikan kepada kroni atau “buddies” yang pernah menyumbang kepada Tabung Harapan. Sebab itu, Guan Eng bermati-matian mahu menamakan pemimpin TAA mengambilalih pemilikan KU TAR. Pelbagai liku serta dugaan dilalui TARC Education Foundation sejak 18 bulan lalu.

3. Kerajaan PH tidak memasukkan butiran geran padanan KU TAR dalam Belanjawan 2019 dan Belanjawan 2020. Ini terbukti apabila Guan Eng gagal menjawab pertanyaan wartawan samada RM40 juta ini merupakan Pembekalan Tambahan Belanjawan 2019 yang akan dibawa ke Parlimen untuk kelulusan. Guan Eng mengelak soalan wartawan dengan berkata “hal tahun 2020 akan ditentukan pada tahun depan”. Guan Eng, susah sangat ke nak jawab “ya” atau “tidak”?

4. Geran padanan (matching grant) ialah di antara pemilik institusi dengan kerajaan. Tetapi janggal sekali apabila Persatuan Alumni pula yang mengurus geran padanan bagi pihak pemilik KU TAR? Manakah logiknya dan apa yang ‘matching’? Ikut terminologi penjawat awam, berdasarkan punca kuasa mana? Muslihat Guan Eng jelas nak menyingkir keluar wakil MCA dari KU TAR demi kepentingan politik dan dendam kesumat yang teramat sangat terhadap MCA.

5. Ingat lagi tak Guan Eng berkali-kali mendakwa 50% Ahli Lembaga Pemegang Amanah KU TAR mestilah bersifat ‘independent’ atau bebas serta tidak berpihak. Apabila pihak KU TAR mengemukakan 4 individu bebas pada 10 Oktober 2019 untuk kelulusan Kerajaan, Menteri yang berkenaan iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada awal bulan Disember 2019 pula berkata pihaknya memerlukan masa lagi untuk memperhalusi permohonan pertukaran 4 orang pemegang amanah tersebut. Sedangkan, TAA yang disokong kuat oleh Guan Eng mendapat kelulusan menubuhkan Tabung Amanah Pendidikan TAA hanya dalam tempoh 2 minggu. Bukankah ini “double standard”?

Kesimpulannya, siapa yang rapat dengan Guan Eng, RM40 juta pun boleh disalurkan terus ke dalam akaun bank pertubuhan mereka. Soal prosedur samada termaktub dalam Belanjawan 2019 atau 2020, manalah Menteri Kewangan kisah ini semua? Lantak dia, nak buat secara ad-hoc ikut mood Guan Eng, kan dia ini digelar TOKONG?

Perlu ditegaskan bahawa terdapat pihak media
melaporkan dengan tajuk berita yang menyalahtafsirkan penyerahan RM40 juta kepada TAA adalah sama dengan penyaluran geran padanan kepada KU TAR. Ini merupakan dua entiti berlainan yang tiada kaitan langsung. DAP sengaja nak membuatkan rakyat keliru!

Wee Ka Siong
16 Disember 2019