TLDM sahkan dua pegawainya dijangkiti H1N1

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan dua pegawainya yang bertugas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak dijangkiti penyakit Influenza A (H1N1).

Cawangan Komunikasi Strategik Markas TLDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan keadaan itu bermula awal bulan ini setelah mereka pulang daripada bercuti di Johor.

“Setakat ini keadaan terkawal dan warga TLDM melaksanakan rutin kerja seperti biasa, sehubungan itu masyarakat awam yang berurusan di Pangkalan TLDM Lumut tidak perlu khuatir,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan pengurusan tertinggi TLDM sentiasa melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan terhadap warganya dari semasa ke semasa melalui kerjasama Hospital Angkatan Tentera Lumut (HAT 96), dan Pejabat Kesihatan Daerah Manjung. — Bernama