Tubuh pasukan khas kaji keperluan penjara swasta

PUTRAJAYA: Satu pasukan khas perlu ditubuhkan bagi melakukan kajian terperinci sekiranya ada keperluan mewujudkan penjara swasta di negara ini.

Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar, berkata pasukan itu sewajarnya dianggotai pihak luar selain beberapa pegawai jabatan itu sendiri.

“Kita nak kata boleh buat (penjara swasta) pun tidak dan nak kata tidak boleh pun tidak, sebab banyak pandangan yang perlu kita dapatkan mengenai perkara ini seperti pandangan masyarakat sama ada mereka bersetuju atau sebaliknya dan pakar akademik serta golongan profesional,” katanya.

Ditemui media selepas merasmikan Malam Interaksi Prospek 2019 Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara di sini, malam tadi, Zulkifli berkata, belum ada perbincangan mengenai penubuhan pasukan itu memandangkan cadangan mewujudkan penjara swasta tidak dimuktamadkan mana-mana pihak.

Jumaat minggu lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, menyarankan Jabatan Penjara membuat kajian mengenai penjara swasta jika pelaksanaannya wajar diberi pertimbangan.

Beliau dilaporkan berkata, jabatan berkenaan boleh membuat kertas cadangan berhubung perkara itu jika berasa ia dapat dilaksanakan, dan mengemukakannya kepada kementerian untuk pertimbangan dalam usaha mengatasi kesesakan di penjara.

Pada masa ini, kira-kira 74,000 banduan sedang menjalani hukuman di penjara seluruh negara walaupun kapasiti sebenar hanya boleh memuatkan kira-kira 52,000 penghuni. – BERNAMA