UYGHUR: Pemuda Bersatu cadang PH contohi peranan Najib tangani isu pemisah Islam

Exco Pemuda Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir mencadangkan Malaysia sebagai perantara antara kerajaan China dan etnik Uyghur berhubung konflik di wilayah Xinjiang.

Ini kerana Malaysia berpengalaman luas menggalas peranan itu seperti dalam usaha perdamaian antara pihak pemisah Islam dengan kerajaan Thailand dan Filipina, kata sayap Bersatu itu dalam kenyataan.

Menurut rekod, semasa era Kerajaan Barisan Nasional, Bekas Perdana Menteri DS Najib Razak terlibat dan memberi peranan yang penting dalam usaha untuk mendamaikan etnik pemisah Islam di Selatan Thailand dan juga Barisan Pembebasan Islam Moro di Filipina.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan memorandum sekumpulan NGO kepada kedutaan China di Malaysia semalam, yang antara lain meminta kerajaan negara itu memberi akses kepada pihak seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk melihat keadaan sebenar di Xinjiang.

Ini bagi membolehkan setiap laporan tentang konflik di sana terutama oleh media Barat dapat dipastikan kesahihannya, kata Ashraf yang juga Presiden Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra) seperti dilapor Harian Metro.

“Kami harap kerajaan China menyambut baik inisiatif yang dicadangkan NGO tersebut,” kata Pemuda Bersatu.

Kedutaan China di Kuala Lumpur semalam dilaporkan tidak menghantar wakil untuk menerima memorandum kumpulan NGO tersebut.

Menyuarakan sokongannya terhadap NGO tersebut, Pemuda Bersatu berkata masyarakat antarabangsa berhak untuk tahu perkara sebenar yang berlaku di Xinjiang, sama ada baik atau buruk.

“Kami percaya dengan kerajaan China membuka pintu yang luas untuk lebih banyak badan agensi (berita) neutral dan wakil kerajaan negara majoriti Muslim, kita akan mendapat gambaran yang lebih tepat,” kata Pemuda Bersatu lagi.

Dalam responsnya terhadap memorandum tersebut, kedutaan China dalam kenyataan berkata negara itu sentiasa terbuka kepada cadangan dan kritikan membina, tetapi tidak akan menerima “tuduhan tak berasas dan tak bertanggungjawab yang berdasarkan kepalsuan”.

“Pada masa ini Xinjiang adalah kawasan yang cantik serta aman, dan merupakan destinasi pelancongan ideal buat rakyat Malaysia, terutama orang Islam.

“Tiada sekatan buat orang luar untuk ke Xinjiang. Jika orang Malaysia benar-benar berminat dengan Xinjiang, anda amat dialu-alukan untuk berkunjung ke sana dan melihat Xinjiang yang sebenar dengan mata sendiri,” kata jurucakap kedutaan, Tang Tang.