[Video] Guan Eng akan saman sesiapa yang mendedah cerita anak beliau ditangkap

Keluarga bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tidak bertanggungjawab menularkan fitnah berhubung anak lelaki Setiausaha Agung DAP itu ditahan di Singapura.

Ahli Parlimen Bukti Mertajam, Steven Sim Chee Keong, berkata ia selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyangkal dakwaan terbabit seperti dilaporkan media, hari ini.

Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu turut menyifatkan penyebaran berita mengenai anak lelaki Guan Eng itu sebagai berita palsu bagi mengalih perhatian daripada kepincangan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu, katanya, Polis Diraja Malaysia di minta mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap penyebar berita palsu terbabit, selain rakyat perlu bersama-sama melindungi demokrasi di negara ini.

“Selepas krisis politik rampasan kuasa, kini Malaysia berhadapan dengan penularan berita palsu. Terbaharu, pihak tidak bertanggungjawab termasuk pemimpin UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) menularkan fitnah bahawa anak Guan Eng ditahan di Singapura.

“Dalam keadaan PN tak mampu menangani gelombang kedua COVID-19, ekonomi kian merundum dan kehilangan keyakinan rakyat terhadap kerajaan tidak mempunyai mandat, UMNO dan rakannya dalam Muafakat Nasional serta Barisan Nasional (BN) akan rancak menyebar fitnah, tuduhan liar dan berita palsu.

“Pemimpin Pakatan Harapan, terutamanya DAP akan menjadi mangsa politik kotor mereka.

Tujuan taktik jijik ini jelas iaitu untuk mengalih perhatian orang ramai daripada kepincangan dan ketidakstabilan kerajaan semakin ketara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hamid menafikan laporan kononnya anak lelaki Guan Eng ditahan di Singapura kerana membawa masuk wang AS$2 juta (RM8.5 juta) ke negara itu selepas pihaknya tidak menerima laporan kejadian terbabit.

Dakwaan membabitkan keluarga bekas menteri itu tular di media sosial sejak semalam, selepas dia didakwa ditahan kerana membawa masuk wang kira-kira AS$2 juta tanpa pengisytiharan sah.

Sebuah portal memetik laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang mendakwa kejadian itu membabitkan anak kepada seorang ‘pemimpin kanan Pakatan Harapan’.