[Video] Pakatan Harapan jangan jadi ‘kerajaan tai chi master’ – Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen kerajaan hari ini lantang menyarankan sejumlah dana bagi Kementerian Tenaga Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dibatalkan jika janji terus dimungkiri.

Lim Lip Eng (PH-Kepong) bagai memberi kata dua apabila mencadangkan dana berjumlah RM134.7 juta dibatalkan jika manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak dapat ditunaikan.

Beliau merujuk kepada aspek pengurusan alam sekitar dengan dana bernilai RM121 juta; pemulihan dan pemuliharaan alam sekitar (RM4.4 juta) serta perancangan strategik (RM9.3 juta).

“Saya nak tanya apa sebenarnya pengurusan alam sekitar di bawah kementerian ini? Jika kata isu sampah dan kebersihan, mereka minta ia dirujuk kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Kalau merujuk kepada hutan, pemuliharaan hutan dan air (sungai) pula perlu dirujuk kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

“Jadi saya nak tanya apa program, langkah dan projek alam sekitar yang dibuat kementerian ini hingga memerlukan anggaran RM121 juta? Kita tak mahu Pakatan Harapan jadi ‘kerajaan tai chi master’, jangan tolak (ke kementerian lain). Kita nak ia jelas,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi MESTECC di Dewan Rakyat, hari ini.

Lip Eng berkata, peruntukan bagi pemulihan dan pemuliharaan alam sekitar wajar dibatalkan jika MESTECC gagal mengurangkan pencemaran udara di Kuala Lumpur.

Tahun lalu, katanya, tiada peruntukan bagi butiran itu.

“Isu pencemaran udara paling teruk di Kuala Lumpur. Apa langkah yang dibuat untuk kurangkan pencemaran? Jika tiada, sila batalkan butiran ini,” katanya.

Beliau mendapat sokongan Ahli Parlimen pembangkang apabila mencadangkan peruntukan perancangan strategik dibatalkan jika kerajaan gagal mencari kaedah menutup kilang nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng, Kuantan.

“Sebelum PRU-14, PH janji membatalkan Lynas dan menghantar sisa toksiknya ke negara asal, tetapi apa yang sudah dibuat?

Menteri jangan mainkan sentimen ‘manifesto tak ada sebut Lynas’, jangan mainkan pengundi.

“Semua Yang Berhormat (PH) di sini sebelum PRU-14 ceramah ‘esok memerintah, kita batalkan Lynas’ tetapi sekarang sudah hampir dua tahun dan ia masih ada.

“Pengundi di luar sana dan pembangkang semua panggil kita ‘kencing’, pengecut. Kita tak mahu jadi kerajaan songsang dan pusingan-U,” katanya.