[Video] Rentetan kait abu Chin Peng pada dahi, dua ahli parlimen diarah keluar dewan

Pertengkaran di Dewan Rakyat hari ini berhubung isu abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng membawa kepada penggantungan dua anggota parlimen – Khoo Poay Teong (PH-Kota Melaka) dan Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak).

Mereka digantung selepas mengingkari arahan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.

Insiden itu berlaku ketika sesi soal jawab, yang bermula dengan pertikaian antara RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Azeez Abdul Rahim (BN-Baling).

Rayer bertanya kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sama ada kerajaan bercadang untuk mengajar pelajar sekolah berkenaan pemimpin PH seperti mendiang Karpal Singh dan Anggota Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.

Menurut Rayer, dua pemimpin DAP itu memberikan contoh moral yang lebih baik berbanding bekas perdana menteri Najib Razak.

Azeez membalas dengan mencadangkan agar pelajar juga diajar tentang Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE), yang mencetuskan bantahan daripada Rayer dan anggota parlimen DAP yang lain.

Ia mendorong Mohamad Ariff untuk menggesa semua pihak bertenang.

Ketika Rayer mahu meneruskan soalannya, Tajuddin yang ketawa dan menepuk dahinya, berkata: “Tumpang tanya, itu abu Chin Peng ke?… Saya tak mahu Jelutong dituduh pakai abu Chin Peng dekat dahi.”

Rayer menuntut Tajuddin menarik balik kenyataan itu yang disifatkan menghina penganut Hindu di Malaysia. Tajuddin kemudian berkata, “Okaylah, tarik balik. Apa ada masalah?”

Namun pertengkaran berterusan dengan anggota parlimen BN mendakwa Rayer menuduh BN menghina agama Hindu.

Beberapa wakil rakyat daripada kedua-dua pihak bangun dan menunjukkan aturan mesyuarat, manakala, bekas timbalan speaker Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) berkata sidang perlu diteruskan memandangkan Tajuddin telah pun menarik balik kenyataannya.

Mohd Ariff akhirnya memerintahkan semua anggota parlimen untuk duduk.

“Kota Melaka (Khoo), Pasir Salak, sila tinggalkan dewan kerana tidak mengikut arahan Speaker,” katanya.

Tajuddin pula menyindir arahan itu apabila mengucapkan terima kasih kepada Mohd Ariff.

“Terima kasih banyak, saya juga ada Perhimpunan Agung Umno untuk dihadiri,” katanya, mencetuskan gesaan agar Mohd Ariff mengenakan tindakan yang lebih tegas kepadanya.