Wendy Shoo Wai Ching ditahan polis, muat naik kenyataan hasutan di FB

0
9
  • Siasatan dibuat di bawah Seksyen 4(1) (a) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
  • Tangkapan telah dibuat ke atas suspek dan gajet yang digunakan turut dirampas
Polis menahan seorang wanita tempatan berusia 48 tahun yang dipercayai memuat naik dua kenyataan berunsur hasutan dan mengaibkan kerajaan di laman media sosial.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, suspek yang menggunakan nama ‘Wendy Shoo Wai Ching’ di laman Facebook itu ditahan pada Sabtu.
“Pada 9 April, satu kertas siasatan dibuka terhadap pemilik akaun tersebut yang memuat naik dua kenyataan yang mengaibkan kerajaan dan berunsur hasutan yang boleh memecah-belahkan keamanan.
“Siasatan dibuat di bawah Seksyen 4(1) (a) Akta Hasutan iaitu kecenderungan menghasut dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.
“Siasatan juga dibuat berdasarkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad seperti dipetik Astro Awani.
Mengulas lanjut, Datuk Huzir berkata sehubungan itu tangkapan telah dibuat ke atas suspek dan gajet yang digunakan turut dirampas.
“Siasatan masih diteruskan dan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” jelasnya.