YANG di-Pertuan Agong ‘belanja’ petugas media makan McD

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menunjukkan keprihatinan terhadap petugas media apabila mencemar duli turun menyerahkan makanan di pintu 2 Istana Negara, hari ini.

Baginda tiba jam 1.10 tengah hari dan menyerahkan makanan segera, McDonalds kepada petugas media yang ‘berkampung’ sejak pagi tadi bagi membuat liputan berhubung pergolakan politik.

Yang pasti, pemberian jamuan makanan itu melegakan petugas media yang rata-ratanya terpaksa menahan lapar sejak pagi

Yang di-Pertuan Agong bertitah, baginda sangat prihatin terhadap petugas media yang membuat liputan.

“Saya berharap kita akan menemui penyelesaian terbaik untuk negara,” kata baginda.
Semalam, kira-kira 50 petugas media yang bertugas di dua pintu di Istana Negara dijamu makanan segera, ayam goreng KFC oleh pegawai Istana.